HAMBURG, 27 JULAI – Pemain nombor tujuh dunia, Andrey Rublev, berjaya menyelamatkan tiga mata perlawanan sebelum menewaskan pemain Sepanyol, Bernabe Zapata Miralles dalam Terbuka Hamburg semalam.
Rublev yang merupakan pilihan kedua, baru sahaja memenangi gelaran Bastad pada hujung minggu lalu, berjaya menewaskan lawannya yang berada di ranking 54 dengan keputusan 5-7, 6-1, 7-6 (9/7).
Rublev bangkit dari kedudukan 4/6 dalam set ketiga dan menyelamatkan mata perlawanan ketiga pada kedudukan 6/7 dengan pukulan forehand yang hebat.
“Saya bermain dengan baik dan mengawal keadaan, tetapi entah bagaimana saya kehilangan set pertama dan saya sunggu kecewa,” kata Rublev.
“Saya bangkit semula dan pulih secara mental dan memenangi set kedua yang sangat bagus. Set ketiga agak mencabar. Saya mula berasa penat dan gementar, kerana keputusan perlawanan ke tie-break dan saya tidak mempunyai banyak peluang untuk mengalahkan lawan.
“Apabila saya tertinggal 0/3, saya mula sangat tertekan. Tetapi kemudian saya bermain dua rally dengan hebat dan memberitahu diri saya untuk terus berjuang, terus berjuang,” ujarnya.
Rublev seterusnya akan menentang sama ada Yannick Hanfmann atau Zhang Zhizhen dalam pusingan kedua.
Pilihan utama dan ranking keempat dunia, Casper Ruud, berjaya pulih daripada kekalahan dalam final Bastad kepada Rublev dengan menewaskan pemain Argentina, Sebastian Baez, dengan keputusan 6-3, 1-6, 6-3. – AFP
