VIENNA, 2 NOV – Andrey Rublev berjaya menewaskan lawan, Lorenzo Sonego kelmarin di final Vienna untuk memenangi kejuaraan ATP kelima musim ini dan menempah nama di Tour Finals di London.
Pemain Rusia tersebut mencatat kemenangan 6-4, 6-4 di bawah masa satu jam 15 minit dan memenangi lebih banyak kejohanan ATP musim ini berbanding pemain lain.
“Kejohanan ini sangat istimewa bagi saya kerana nenek saya berasal dari Austria, jadi saya berketurunan Austria,” kata Rublev, yang mara ke suku akhir Terbuka AS dan Terbuka Perancis tahun ini. “Ini adalah kejuaraan yang sangat istimewa bagi saya.” Dia akan membuat penampilan sulung dalam penamat musim Tour Finals, yang bermula pada 15 November di London untuk final.
“Saya gembira bahawa saya akan bersaing di London buat pertama kali. Saya tidak sabar untuk menyertainya,” tambah Rublev.
“Masih banyak perkara yang saya perlu perbaiki dan ia adalah cabaran yang baik untuk saya dan melihat setakat mana saya meningkat pada tahap ini, untuk mampu bersaing menentang lapan pemain teratas.”
Rublev, 23, menjuarai kejohanan di Vienna tanpa melakukan sebarang kesilapan dan terlalu hebat buat lawan yang berasal dari Itali, Sonego, yang menewaskan Novak Djokovic pada suku akhir.
Hanya pemain nombor satu dunia, Djokovic yang menandingi jumlah memenangi perlawanan seperti Rublev dengan 39 perlawanan pada 2020.
Rublev, yang menduduki tangga ke lapan, merupakan pemain Rusia pertama yang memenangi lima kejuaraan dalam satu musim sejak Nikolay Davydenko pada 2009. – AFP
