BERLIN, 28 OGOS – Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann memanggil semula pertahanan tengah Antonio Rudiger sementara menyingkirkan sayap Leroy Sane daripada skuadnya bagi kelayakan Piala Dunia yang akan berlangsung pada September ini.
Jurulatih Jerman itu berdepan beberapa kecederaan dan terlepas khidmat penyerang Jamal Musiala, Kai Havertz dan Tim Kleindienst, penjaga gol pilihan pertama Marc-Andre ter Stegen serta pemain pertahanan Nico Schlotterbeck dan Benjamin Henrichs.
Nagelsmann menamakan tiga wajah baharu dalam skuad 23 pemain, iaitu pemain pertahanan Eintracht Frankfurt, Nnamdi Collins, penjaga gol Augsburg, Finn Dahmen dan pemain tengah Mainz, Paul Nebel.
Sane, yang telah membuat 70 penampilan untuk Jerman sejak mencatat kemunculan pada 2015, diketepikan daripada skuad pertama yang diumumkan sejak berpindah dari Bayern Munich ke Galatasaray pada musim panas.
Rudiger dipanggil semula buat pertama kali sejak kejadian di final Piala Sepanyol pada Mei lalu, apabila pertahanan tengah Real Madrid itu membaling objek ke arah pengadil sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

Pada Mei, Nagelsmann mengkritik tingkah laku Rudiger dengan berkata, “Dia tahu ini tidak boleh berlaku lagi, jika tidak akan ada akibat yang sangat serius.”
Dalam satu temu bual bersama Sueddeutsche Zeitung, Rudiger memohon maaf atas tingkah lakunya yang ‘salah dan keterlaluan’. Selain Rudiger, Nagelsmann turut memanggil semula dua pemain Stuttgart, Angelo Stiller dan Jamie Leweling, selain pemain tengah Mainz, Nadiem Amiri.
Dahmen, yang juga layak mewakili England, dimasukkan dalam skuad bagi menggantikan penjaga gol Barcelona yang cedera, ter Stegen.
Jerman akan berdepan Slovakia di Bratislava pada 4 September sebelum menentang Ireland Utara tiga hari kemudian di Cologne.
Jerman perlu menjuarai kumpulan empat pasukan bersama Slovakia, Ireland Utara dan Luxembourg untuk menjamin kelayakan ke Piala Dunia 2026 di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico. – AFP

