Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruffedge pernah dibayar RM20 seorang

    Pernah menerima bayaran serendah RM20 pada awal pembabitannya bukanlah sesuatu yang memalukan bagi penyanyi dan anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish.

    Cat atau nama sebenarnya, Farish Ramli, 51, berkata jumlah bayaran kecil pada peringkat awal kerjaya adalah perkara normal yang dilalui kebanyakan artis sebelum menempa nama, lapor BH Online!.

    “Kita bila jadi penyanyi, memang akan ada pengalaman terima bayaran kecil, RM500 pun ada. Tapi kita kena lihat juga, dengan bayaran RM500 itu, siapa yang kita persembahkan nyanyian kita?

    “Contohnya pelajar universiti panggil menyanyi dengan bajet RM500, tapi kita hiburkan 1,000 pelajar. Jadi 1,000 orang itu akan dengar semula lagu kami. Pada kami yang sudah lama, itu berbaloi,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier milik Ashraf Muslim di IOI City Mall, semalam.

    Menurut Cat, Ruffedge sendiri pernah menerima bayaran hanya RM20 seorang pada awal perjalanan seni mereka.

    “Itu zaman kami buat show gig. Pernah juga dapat RM20 kongsi lima orang. Lama-kelamaan, bayaran naik kepada ribuan ringgit untuk satu persembahan,” katanya.

    Mengulas isu bayaran rendah yang sering diperkatakan, Cat tidak menafikan masih ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap penyanyi.

    “Kadang-kadang ada tawaran buat persembahan di acara amal atau majlis perkahwinan dengan bayaran RM1,500. Ya, RM1,500 tak buat kita kaya, tapi bagi sesetengah orang, jumlah itu besar.

    “Tapi kalau rasa bayaran itu tak sesuai, kita boleh tolak dengan beradab. Tak ada masalah,” katanya.

    Cat percaya setiap penyanyi mempunyai kelas tersendiri yang menentukan nilai bayaran mereka. – Agensi

    Cat Farish berkongsi pengalaman menerima bayaran serendah RM20 pada awal kariernya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda