Saturday, October 19, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruhainies sedih hancurkan kepercayaan peminat

    Insiden ditangkap khalwat bersama pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz sehingga dilabel perosak rumah tangga orang membuatkan kehidupan Ruhainies seperti air panas dan menggelegak.

    Sekelip mata namanya menjadi bahan perdebatan dan kata-kata nista dilemparkan si mulut lancang terhadapnya bertebaran dalam media sosial.

    Ternyata, ramai terkesan dengan insiden memalukan itu terutama peminat yang berdiri teguh menyokong kerjaya seninya selama ini.

    Menyedari kesetiaan ditunjukkan peminat seolah-olah dikhianati, pemilik nama lengkap, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas mengakui, hatinya terluka mengenangkan perkara itu.

    “Sejujurnya, saya sedih kerana membuat peminat kecewa apabila insiden tangkap basah berlaku.

    Ruhainies sedih membuat peminat kecewa gara-gara insiden tangkap basah dan turut menafikan menyara hidup Aliff Aziz selepas bercerai. – Kosmo Digital

    “Tapi, saya masih lagi tertuduh dan belum dibuktikan bersalah.

    “Apapun, saya harap semua pihak dapat bersabar dan menunggu keputusannya nanti,” ungkapnya kepada BH Online.

    Rentetan apa yang berlaku, Ruhainies mengakui turut berdepan dengan pelbagai cerita tidak benar mengenai dirinya dan Aliff yang disebarkan pihak tertentu bertujuan untuk memalukan.

    Antara kisah ditularkan adalah Ruhainies dan Aliff bakal bertunang dalam masa terdekat, selain tuduhan memikul biawak hidup apabila didakwa menyara hidup penyanyi Sayang Sayang itu selepas bercerai.

    Menyifatkan semua berita tersebar palsu, Ruhainies meluahkan rasa kesal kerana terpaksa menjawab segala tohmahan demi membersihkan namanya.

    “Terlalu banyak cerita tersebar dalam media sosial hingga menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak.

    “Bahkan, cerita disebarkan semakin merepek. Saya pun tidak tahu siapa dalang yang mereka-reka cerita.

    “Tiba-tiba media petik dan dijadikan bahan berita. Setiap kali cerita bukan-bukan keluar, saya pula yang terpaksa menjawab untuk menjelaskan keadaan sebenar,” luahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda