Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruhainies tetap kerja ketika berdepan kontroversi

    Kontroversi yang menghimpit dirinya ketika ini tidak pernah menghalang pelakon Ruhainies untuk terus memberi tumpuan kepada kerjaya seni.

    Memetik laporan mStar, demi komitmen dan tanggungjawab, Ruhainies atau Nur Ruhainiess Farehah Zainul Ilyas, 32, tetap meneruskan kehidupan seperti biasa termasuk menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur.

    Kata pelakon itu, beliau tidak perlu takut kerana berada di pihak benar dan bukan seperti diperkatakan.

    “Saya komited pada kerja. Lagipun saya di pihak yang benar, tidak perlu takut.

    “Berani kerana benar,” katanya.

    Ruhainies berkongsi perkara itu dalam satu video bersama usahawan Datuk Aliff Syukri ketika mereka sedang menjalani rakaman promosi sebuah festival jualan.

    Dalam video berkenaan, Aliff bertanya tentang kekuatan Ruhainies berdepan dugaan dan kecaman apabila banyak pihak terus menghentam beliau susulan kes ditangkap berkhalwat bersama pelakon Aliff Aziz pada Sabtu lalu.

    Ruhainies juga sekali lagi menegaskan laporan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menunggu selama tiga jam ketika tangkapan dibuat adalah tidak benar.

    “Tiga jam itu hanya tokok tambah,” jelasnya.

    Sementara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya, Ruhainies turut mengucapkan selamat berpuasa sempena ketibaan bulan Ramadan.

    Ruhainies dan Aliff ditahan pihak Jawi di sebuah kondominium mewah di ibu negara dan kemudian dibebaskan dengan jaminan pada pukul 2 petang hari sama.

    Pasangan pelakon itu juga dilaporkan bakal didakwa di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat. – Agensi

    Ruhainies yakin tidak terlibat dengan kes khalwat seperti yang didakwa. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda