Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Sebarang perkhidmatan penilaian, pengurusan hartanah atau perkhidmatan agensi hartanah hanya boleh dijalankan oleh para penilai berdaftar dan ejen tanah berdaftar serta mempunyai sijil untuk menjalankan amalan di bawah Lembaga Penilai dan Ejen Hartanah (BoVEA).
Setakat ini, seramai 19 orang penjalan amalan yang diiktiraf mempunyai sijil amalan untuk menjalankan amalan sebagai penilai dan ejen hartanah berdaftar bagi menjalankan
perkhidmatan penilaian, pengurusan dan pemasaran hartanah kepada orang ramai di negara ini.
Oleh itu, bagi perkhidmatan nasihat mengenai urusan hal ehwal hartanah seperti penilaian, penjualan, pembelian, penyewaan, pajakan dan lain-lain urusan hartanah, adalah penting untuk merujuk kepada yang berdaftar di bawah BoVEA.
Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) dan Pengerusi BoVEA, Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan, Sijil Pencapaian dan Sijil Penyertaan kepada Penyampai Taklimat, Peserta Kursus dan Sukarelawan bagi Kursus Amalan-amalan Hartanah Bahagian 1 dan 2 yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kemahiran Kerja, Kementerian Pembangunan, hari ini.
Beliau berkata, “Ini adalah bagi melindungi orang ramai khususnya para pemilik tanah berdaftar, pelabur, pembeli, penyewa atau mana-mana pihak yang mempunyai hak-hak kepentingan di atas tanah daripada sebarang salah laku dan unsur-unsur penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu atau individu yang tidak bertanggungjawab dan tidak berdaftar di negara ini.”

Dr Nor Imtihan dalam ucapannya turut membangkitkan beberapa masalah yang dikenal pasti berkaitan dengan iklan pemasaran hartanah yang sedang berleluasa pada masa ini dan secara terang-terangan diiklankan oleh pihak yang tidak berdaftar di Negara Brunei Darussalam.
Beliau menekankan, “Perlakuan seperti ini adalah tidak selaras dengan peruntukan yang terkandung di bawah Perintah Penilai dan Ejen Harta Tanah 2009.
“Dan di bawah Bab 22 (g) perintah ini, jika disabit kesalahan denda tidak melebihi $5,000 dan denda tambahan sebanyak $500 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan dikenakan ke atas seseorang yang tidak berdaftar di bawah Bab 16(2).”
Oleh itu, setiap penjalan amalan berdaftar dimestikan untuk membubuh nombor sijil pendaftaran bagi dirinya dan sijil amalan atas nama perniagaan masing-masing di dalam semua laporan penilaian dan iklan pemasaran hartanah.
Dr Nor Imtihan berkata lagi bahawa orang ramai yang memerlukan perkhidmatan penilaian, pengurusan dan agensi hartanah, boleh merujuk senarai nama-nama penjalan amalan yang sah berdaftar yang boleh didapati dan dimuat turun dari laman sesawang
BoVEA, www.bovea.gov.bn.
“Oleh yang demikian, saya menggesa dan menyarankan semua pihak yang berkaitan seperti pemilik tanah, pmaju, pembina, bahan binaan dan kontraktor adalah sama sekali tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang iklan pemasaran hartanah di mana-
mana jua platform pengiklanan sama ada berbentuk fizikal di atas tanah atau pun melalui mana-mana media cetak dan dalam talian seperti laman sesawang, Facebook, Instagram dan lain-lain,” tambahnya.
Beliau juga menasihatkan para penilai dan ejen hartanah yang baharu sahaja berdaftar di bawah lembaga untuk sentiasa menjaga standard, disiplin dan etika mereka lebih-lebih lagi keperluan untuk mendapatkan tunjuk ajar yang betul daripada pakar-pakar yang berdaftar.