Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Penentuan awal bulan Zulhijjah 1446 Hijrah akan dilakukan di seluruh negara pada petang Selasa, 29 Zulkaedah 1446 Hijrah bersamaan 27 Mei 2025 Masihi, menurut kenyataan rasmi Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Sehubungan itu, hakim-hakim Syarie dan pegawai-pegawai Mahkamah Syariah, bersama pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan akan berada di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan bagi menjalankan aktiviti rukyah hilal melihat anak bulan Zulhijjah.
Lima lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan tersebut ialah Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Bangunan Hilal Bukit Ambog, Daerah Tutong; dan Bukit Lumut, Daerah Belait.
Orang ramai diminta memberikan kerjasama sepenuhnya dengan tidak mendekati lokasi-lokasi tersebut bagi memastikan kelancaran proses rukyah.
Pengumuman rasmi mengenai 1 Zulhijjah 1446 Hijrah akan dibuat melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik sahaja hasil rukyah diperoleh pada petang 27 Mei.
