Artis versatil, Alif Satar hanya meraikan Aidilfitri bersama keluarga selama seminggu sebelum berangkat ke United Kingdom (UK) pada hari raya ke-7 bagi menjayakan konsert jelajah bersama The Locos selama dua minggu.
Bagaimanapun, Aliff mengakui teruja merasai kemeriahan Syawal di negara orang, selain menyatakan hajat untuk cuba memanfaatkan peluang menyebar luaskan kempen, #GengSubuhMacamJumaat di UK.
“Apa yang seronok dan buatkan saya rasa tak sabar adalah pada hari raya ke-7, saya bersama anggota The Locos akan terbang UK bagi menjayakan konsert siri jelajah.
“Pada awalnya, kami akan tiba di Sherfield dan insya Allah akan jalankan kempen, #GengSubuhMacamJumaat di sana sebab ramai komuniti Malaysia tahu kami akan datang.
“Jadi, kami mahu cuba gerakkan kempen ini dan ajak komuniti di sana turut serta,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa sempena pengumuman Alif sebagai duta syarikat jual beli emas, GB Gold Malaysia di Forest Valley Hall, Cheras, baru-baru ini.
Alif berkata, dia sudah berhubung pihak Kedutaan Malaysia di UK untuk menjalankan kempen berkenaan dan berharap segala-galanya berjalan lancar.
“InsyaAllah kalau impian dapat direalisasikan mesti seronok. Kalau di Malaysia dapat kumpul berpuluh ribu, jadi kami akan cuba juga di sana.
“Saya rasa kenapa tidak ambil peluang dan berhubung dengan penduduk atau pihak kedutaan bagi menjalankan kempen ini,” katanya kepada BH Online.
Alif Satar & The Locos akan menjalankan siri jelajah ke UK dan Paris, Perancis selama dua minggu bermula 20 April ini.
Mengulas sambutan Aidilfitri selama seminggu di tanah air, Aliff memberitahu, rumahnya bakal menjadi ‘pangkalan’ untuk adik-beradik dan sanak-saudara bertandang. – Agensi
