Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah banglo penyanyi legenda bakal dilelong RM1.2 juta

    Sebuah rumah banglo dipercayai milik seorang penyanyi legenda Malaysia yang meninggal dunia akibat masalah paru-paru dua tahun lalu dikatakan bakal dilelong pada 28 Ogos ini.

    Menurut mStar, menerusi hantaran di Facebook Selangor Auction Property, rumah banglo 2.5 tingkat lot sudut yang terletak di SS18, Subang Jaya itu dilaporkan telah didaftarkan atas nama arwah bersama seorang ahli keluarga dipercayai anaknya.

    “Rumah atas nama ibu dan anak. Ibu adalah seorang ikon dan penyanyi legenda di Malaysia. Beliau meninggal dunia akibat masalah paru-paru dua tahun lalu.

    “Tahun ini rumah beliau dilelong. Entah kenapa dan tak pasti apa yang dah berlaku selepas itu. Doa semoga dipermudahkan segala urusan bagi keluarga beliau,” tulis kapsyen itu.

    Berdasarkan maklumat lelongan, rumah berstatus pegangan bebas (freehold) itu mempunyai keluasan tanah sekitar 3,457 kaki persegi dengan lima bilik tidur dan empat bilik air.

    Difahamkan rumah terbabit merupakan lelongan kali pertama dan harga rizab ditetapkan mahkamah sebanyak RM1.2 juta iaitu lebih rendah berbanding harga pasaran yang dianggarkan sekitar RM1.7 juta.

    Meninjau ke ruangan komen warganet sudah mula membuat spekulasi mengaitkan beberapa nama penyanyi legenda yang dipercayai pemilik rumah berkenaan.

    Perkongsian yang dimuat naik sejak kelmarin itu juga menarik perhatian ramai apabila menerima lebih 370 komen dan 114 kongsi hantaran di Facebook. – Agensi

    Rumah 2.5 tingkat ini dipercayai terletak di Subang Jaya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda