Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah bot cara terbaik terokai Tasik Kenyir

    KUALA BERANG – Dengan 340 buah pulau, 14 air terjun di samping jeram, hutan simpan dan gua, Tasik Kenyir menjanjikan pengalaman percutian yang menakjubkan bagi pelancong terutama pencinta alam semula jadi.

    Ini ditambah dengan pelbagai pembangunan pesat dijalankan di kawasan ini sejak ia diletakkan di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Bermula 1 Ogos lepas, Tasik Kenyir juga diisytiharkan sebagai kawasan bebas cukai yang sudah tentu memberikan daya tarikan tambahan untuk berkunjung ke destinasi pelancongan ini.

    Memandangkan kawasan tasik yang luas, cara terbaik menjelajah tempat-tempat menarik di tasik ini dengan cara yang santai iaitu dengan menggunakan perkhidmatan rumah bot.

    Rumah bot

    Kunjungan ke Tasik Kenyir atas undangan KETENGAH pada pertengahan September lepas memberi peluang kepada penulis untuk mengenali destinasi percutian ini dengan lebih dekat. Pengalaman tinggal di atas rumah bot selama tiga hari dua malam turut merakam banyak kenangan manis.

    Rumah bot ‘Persona Houseboat 2’ milik Kamaruddin Razali berlayar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. – Bernama
    Kamaruddin Razali, pemilik rumah bot Persona Houseboat 1 dan Persona Houseboat 2 ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama

    Perangkaan KETENGAH merekodkan terdapat 79 rumah bot, 79 bot laju dan 53 ‘car topper’ (pengangkut perahu di atas kereta) didaftarkan untuk beroperasi di Tasik Kenyir. Rumah bot terbesar di sini diberi nama Bahtera Kenyir 1. Rumah bot setinggi tiga tingkat ini boleh memuatkan 100 penumpang pada satu-satu masa.

    Rumah bot yang paling kecil boleh membawa 10 penumpang tetapi kebanyakan rumah bot di sini berkapasiti antara 25 ke 30 penumpang. Sepanjang tempoh lawatan ke Tasik Kenyir, penulis dan rakan media dari Sinar Harian, Utusan Malaysia, Majalah Santai, Malaysian Namban dan Oriental Daily tinggal di rumah bot bernama ‘Persona Houseboat 2’ (PH2).

    Rumah bot yang dimiliki Kamaruddin Razali, 47, ini boleh memuatkan sehingga 30 orang. Beliau memiliki sebuah lagi rumah bot iaitu Persona Houseboat 1 yang saiznya lebih kurang sama dengan PH2. Menurut Kamaruddin, setiap rumah bot mempunyai ciri yang berbeza seperti saiz, kemudahan serta kadar sewaan.

    Kemudahan yang biasa disediakan para pengusaha rumah bot adalah tempat tidur, ruang legar, kemudahan memasak, kemudahan barbeku, televisyen, alat memancing serta set karaoke. Di sesetengah bot seperti PH2, terdapat juga bilik serbaguna yang boleh digunakan sebagai ruang aktiviti, pawagam mini serta bilik mesyuarat.

    Jelajah dengan mudah

    Menurut Kamaruddin, menjelajah Tasik Kenyir menggunakan rumah bot adalah cara yang paling efisyen bagi pelancong yang mahu berkunjung ke pelbagai tempat dalam tempoh percutian mereka. “Kita boleh bawa bot dari Pengkalan Gawi (jeti utama) ke Air Terjun Saok. Tambat bot di sana. Selepas mandi-manda kita bermalam di situ untuk menikmati suasana malam dengan aktiviti barbeku, memancing sambil melihat langit malam yang ditaburi bintang.

    “Keesokan harinya awal-awal pagi kita belayar pula ke Santuari Ikan Kelah dan lepas makan tengah hari kita ke Taman Herba atau ke mana sahaja yang penumpang mahu,” tambahnya. Antara tempat menarik lain yang boleh dilawati menggunakan rumah bot termasuk Air Terjun Lasir, Gua Bewah dan Gua Taat iaitu dikatakan penempatan manusia zaman mesolitik, Taman Tropika, Taman Rama-Rama dan Perkampungan Gajah Tasik Kenyir.

    Oleh kerana kebanyakan kawasan tidak boleh diakses menggunakan jalan darat, maka penggunaan bot laju atau rumah bot adalah pilihan yang paling sesuai untuk ke kawasan pemeliharaan haiwan liar itu. Perjalanan dengan rumah bot dari satu lokasi ke lokasi yang lain menjadikan percutian lebih menarik dan menjimatkan masa berbanding sekiranya pelancong perlu berulang-alik ke chalet atau rumah inap.

    Mereka yang gemar mengambil gambar atau video, pastinya banyak gambar termasuk panorama semulajadi yang boleh dirakam di sepanjang perjalanan. Jika bernasib baik, dapatlah juga melihat aksi sang helang menerkam ikan-ikan yang timbul ke permukaan air. Yang menariknya, pengusaha rumah bot juga diberi keutamaan untuk mendapatkan permit bagi pelancong untuk masuk ke kawasan-kawasan terlindung seperti hutan simpan dan Santuari Ikan Kelah.

    Dengan 340 buah pulau, 14 air terjun di samping jeram, hutan simpan dan gua, Tasik Kenyir menjanjikan pengalaman percutian yang menakjubkan bagi pelancong terutama pencinta alam semula jadi. – Bernama

    Dua jenis sewaan

    Ada dua jenis sewaan rumah bot yang ditawarkan kepada penyewa iaitu sama ada mahu memasak sendiri atau serahkan kerja memasak kepada petugas rumah bot. Kadar sewa jika memasak sendiri adalah dalam lingkungan RM 1,000 hingga RM 12,000 untuk pakej dua hari satu malam. Kadar ini juga tertakluk kepada saiz dan kemudahan yang terdapat dalam sesebuah rumah bot.

    Bot dengan kapasiti sehingga 30 orang seperti ‘Persona Houseboat 2’ (PH2) yang diusahakan oleh Kamaruddin Razali boleh disewa dengan kadar RM 2,500 untuk tempoh yang sama.

    Dengan memilih pakej ini, penyewa perlu membeli sendiri bekalan bahan mentah dan membawanya ke atas bot. Mereka diberi kebenaran mengguna peralatan memasak, peti ais dan pinggan mangkuk yang disediakan pengusaha rumah bot.

    Bagi pakej yang menyediakan perkhidmatan memasak, kadar sewa berbeza mengikut pengusaha bot. Untuk PH2 kadarnya adalah RM250 seorang dengan tempahan minimum 20 penumpang untuk pakej dua hari satu malam. Makanan yang disediakan termasuk sarapan, kudapan, merarau (makan tengah hari), cicipan (minum petang), makan malam dan gabi (snek malam) . Berdasarkan pengalaman penulis, belum sempat nak rasa lapar lagi, tukang masak sudah pun menyiapkan hidangan baharu, maknanya sentiasa ada makanan!

    Peningkatan mutu berterusan

    Menurut Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail, perkhidmatan rumah bot di Tasik Kenyir sudah banyak menunjukkan peningkatan daripada rumah bot berasaskan rakit kepada bot yang lebih canggih dengan kemudahan yang lebih baik. “Yang paling kita banggakan, kesemua rumah bot di Tasik Kenyir diusahakan oleh orang tempatan dan anak jati Terengganu sendiri. Dari masa ke masa kita akan terus sokong mereka dengan memberi panduan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka,” kata beliau.

    Beliau turut memuji sikap anak tempatan yang mempunyai minat tinggi untuk meneroka perniagaan rumah bot meskipun pihak KETENGAH tidak menyediakan sebarang bantuan khusus dari segi kewangan kepada mereka.

    “Mereka sendiri yang nampak peluang dalam bidang ini. Mereka percaya dengan potensi yang ada dan melaburkan wang sendiri untuk memulakan perniagaan rumah bot. Yang kita bantu hanyalah bantuan secara tidak langsung seperti rekaan bot, ciri keselamatan dan pengurusan sistem buangan. Apa sahaja bahan buangan tidak dibuang ke tasik untuk mengelakkan pencemaran,” jelas Omar.

    Bantuan itu juga termasuk promosi berterusan Tasik Kenyir kepada pelancong, keutamaan mendapatkan permit masuk ke kawasan terlindung serta penganjuran pelbagai acara sepanjang tahun untuk terus menarik kehadiran pelancong sepanjang tahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda