Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan ABCi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Pemilik rumah di kawasan Kota Batu telah menerima arahan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) untuk menutup dan meroboh rumah beliau yang didapati condong dan dalam keadaan yang membahayakan.
Bagi memastikan keselamatan awam, pemilik diarahkan untuk memasang papan dinding hoardings dan beliau telah diberikan tempoh sebulan bagi melaksanakan kerja-kerja meroboh.
Dengan adanya perintah penutupan yang dikeluarkan, jika individu didapati memasuki kawasan berkenaan boleh didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 36 (4) Perintah Kawalan Bangunan (BCO) yang membawa hukuman denda $10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Di samping itu, kegagalan untuk merobohkan bangunan sebagaimana yang diperintahkan adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 35 (5) BCO yang membawa hukuman denda $100,000 atau tidak melebihi setahun penjara atau kedua-duanya.
Dalam kes ini, pemilik rumah berkenaan mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh ABCi dan kerja-kerja meroboh telah siap dilaksanakan pada tempoh yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, semasa pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh ABCi bagi papan iklan dan papan tanda di kawasan Daerah Brunei dan Muara mendapati satu papan iklan beranimasi yang terletak berhampiran lampu isyarat persimpangan-T di sepanjang Jalan Pasar Gadong mempamerkan iklan yang telah mansuh kebenarannya sebulan sebelumnya.
Secara amnya, kebenaran untuk pengiklanan luar hanya sah dalam tempoh enam bulan bermula dari permohonan diluluskan dan apa-apa jua permohonan bagi melanjutkan tempoh iklan hendaklah dihadapkan secara berasingan.
ABCi telah memerintahkan syarikat periklanan yang berkenaan untuk mengeluarkan papan iklan tersebut sepertimana peruntukan di bawah Peraturan Pengawalan Bangunan (Iklan, Papan Iklan dan Papan Tanda), 2016.
Di bawah perintah ini, kegagalan untuk mematuhi arahan ABCi boleh membawa hukuman denda tidak melebihi $10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Memandangkan syarikat pen-giklanan berkenaan tidak mematuhi arahan yang telah dikeluarkan, ABCi telah melaporkannya kepada pihak polis bagi penyiasatan lebih lanjut.