Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah hijau gergasi London dipenuhi dengan tumbuhan unik

    LONDON – Sebuah monumen tersergam indah yang memiliki cita-cita dan kreativiti dalam usianya, rumah kaca Victoria terbesar di dunia, sekali lagi mengalu-alukan para pengunjung untuk menyaksikan beberapa tumbuhan yang paling jarang didapati di dunia berikutan dengan pengubahsuaiannya.

    ‘Temperate House’ di Kew Gardens London adalah begitu besar sehingga dapat memuatkan tiga jumbo jet di dalamnya dan ia adalah rumah kepada kira-kira 1,000 spesies tumbuhan dari seluruh dunia sebelum ianya ditutup pada tahun 2013 setelah mengalami kerosakan.

    “Terdapat karat di mana-mana, semua cat tanggal dan lihatlah sekarang, ia berwajah baru,” kata pengurus projek, Andrew Williams kepada AFP, sambil para pekerja bangunan melakukan kerja-kerja akhir pada projek renovasi itu yang dianggarkan berjumlah 41 juta Pound (AS$57 juta, 46 juta euro).

    Struktur besi dan kaca ini telah direka oleh arkitek Victoria yang sangat dihormati iaitu Decimus Burton pada tahun 1860 dan telah dibuka pada tahun 1863.

    Operasi membaik pulih dan pembaharuan itu memerlukan 69,000 elemennya terpaksa ditanggalkan untuk operasi pembersihan, pembaikan atau menggantikan 15,000 jendela kacanya.

    Suasana pemandangan di ‘Temperate House’, rumah kaca Victoria terbesar di dunia, di Royal Botanic Gardens di Kew, barat London. – AFP
    ‘Temperate House’ di Kew Gardens London adalah begitu besar sehingga dapat memuatkan tiga jumbo jet di dalamnya. – AFP
    Operasi membaik pulih dan pembaharuan itu memerlukan 69,000 elemennya terpaksa ditanggalkan untuk operasi pembersihan, pembaikan atau menggantikan 15,000 jendela kaca. – AFP

    Catnya mampu meliputi empat padang bola sepak yang mana digunakan untuk tiang besi meganya dan Kew menjangkakan ratusan ribu pelawat akan mengunjungi tempat itu setiap tahun, dijangkan akan dibuka semula pada bulan Mei nanti.

    “Bangunan seperti ini perlu dihargai,” kata Williams.

    “Saya berfikir bahawa tiada bangunan seperti ini dapat dibina pada masa sekarang,” tambahnya.

    “Semua orang yang bertungkus lumus dalam projek ini merasa sangat berbangga dan kini anda dapat melihat tumbuh-tumbuhan mulai masuk ke dalam bangunan dan ia sangat luar biasa.”

    Hanya beberapa minggu sebelum hari pembukaan semula, para ahli hortikultur bekerja keras untuk menampatkan semula tumbuh-tumbuhan ini yang mana kebanyakannya telah dipindah ke tapak semaian semasa kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan.

    “Ia merupakan operasi yang sangat besar,” kata penyelia Temperate House, Scott Taylor.

    “Pada tahun 2012, kami mula mengangkat dan memindahkan tumbuh-tumbuhan dari rumah tersebut. Ia mengambil masa sehingga tahun 2014 apabila kerja-kerja pembinaan bermula.

    “Manakala untuk memasukkan semula semua tumbuhan yang ada mengambil masa kira-kira sembilan bulan.”

    Sekitar 1,300 m3 tanah dibawa dari luar tapak itu, yang akan menyokong sekitar 1,500 spesies apabila penanaman semula selesai.

    Rumah itu akan dibahagikan kepada kawasan-kawasan geografi dengan mempamerkan tumbuh-tumbuhan dari Afrika, Amerika, Australia, Himalaya dan Asia.

    “Pemacu utama kami untuk pembukaan semula ini adalah flora yang jarang didapati dan diambang ancaman,” jelas Taylor.

    “Anda tidak akan pergi mengambilnya dari kedai, ia seperti percubaan yang getir.

    Pekerja binaan menanam sejenis tumbuhan Archontophoenix Cunninghamiana (pokok palma Australia) di dalam ‘Rumah Temperat’. – AFP
    ‘Temperate House’ ini akan dibahagi-bagikan kepada beberapa kawasan geografi yang mempamerkan tumbuh-tumbuhan daripada kawasan Afrika, Amerika, Australia, Himalaya dan juga Asia. – AFP

    “Kami benar-benar bernasib baik kerana kami berjaya ke Millenium Seed Bank, 20 batu perjalanan. Saya telah menelefon, menghantar e-mel kepada mereka untuk mendapatkan semua tumbuh-tumbuhan ini.

    “Kami mempunyai kira-kira 50 spesies yang jarang didapati dan diambang ancaman,” jelasnya, termasuklah tumbuhan yang tidak lagi wujud di dunia alam semula jadi.

    Salah satu tumbuhan yang paling jarang didapati yang mana akan dipamerkan adalah South African Encephalartos woodii, sejenis tumbuhan seperti kurma yang mempunyai daun berwarna kehijauan.

    Hanya satu spesimen sepertinya telah ditemui tumbuh di alam liar dan ia telah lama hilang dari alam semula jadi.

    Tanda-tanda yang disediakan nanti mampu memberitahu pengunjung mengenai ancaman floranya, termasuklah perubahan penggunaan tanah, tumbuh-tumbuhan invasif yang berasal dari pelbagai ekosistem dan juga penebangan hutan.

    Pengudaraan baru dan sistem pemanasan yang dinaik taraf, sebahagian besarnya dipacu oleh dandang bahan bakar organik, yang mana telah dipasang untuk membantu tumbuh-tumbuhan berkembang, walaupun sesetengah spesimen berharga tidak dapat hidup.

    “Kami mempunyai Jubaea (sawit) besar yang berumur 160 tahun,” kata Taylor.

    “Kami telah berbincang pada masa yang agak lama, memikirkan apa yang boleh kami lakukan, namun ia akan dapat menembusi melalui kaca,”jelasnya.

    “Ianya agak mustahil bagi sejenis tumbuhan yang mana telah tumbuh selama 160 tahun akan dapat dipindahkan ke luar. Jadi kami berasa sedih apabila telah kehilangan spesimen yang begitu bermakna.”

    Dengan pelan penyelenggaraan yang baharu, Kew menjangkakan untuk melakukannya lagi pada 25 tahun nanti sebelum menjalankan kerja-kerja yang lebih utama. The Grade I masih tersenarai dalam keutuhan kejuruteraan Victoria.

    “Tiang dan struktur utama semuanya asli dan kami tidak perlu melakukan banyak pengubahsuaian,” kata Williams.

    “Ia akan bertahan selama 100 tahun lagi. Ia adalah bangunan yang kukuh dan ia tidak didapati di mana-mana tempat!” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda