Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah mampan daripada panel berasaskan cendawan

    NAIROBI, KENYA – Sebuah ladang cendawan besar berhampiran Nairobi, ibu negara Kenya, adalah amat unik: Ia menanam cendawan dalam skala industri, bukan sebagai makanan untuk restoran tetapi sebagai bahan binaan yang dikatakan oleh beberapa penduduk Kenya boleh membantu lebih ramai orang memiliki rumah sendiri.

    Ladang itu menghasilkan miselium, struktur akar cendawan yang kemudian digunakan oleh syarikat tempatan untuk membuat bahan binaan yang dikatakan lebih mampan berbanding bata biasa.

    Syarikat itu, MycoTile, menggabungkan akar dengan gentian semula jadi dan agen untuk membuat panel yang boleh digunakan untuk segala-galanya daripada penebat bumbung dan dinding kepada hiasan dalaman, pada sebahagian kecil daripada kos bangunan dengan bata tanah liat standard. Buat masa sekarang ia menghasilkan kira-kira 3,000 meter persegi bahan tersebut setiap bulan.

    Penjual jalanan, Jedidah Murugi, yang rumahnya diperbuat daripada bahan binaan berasaskan cendawan, berkata dia percaya ‘tidak ada perbezaan besar dalam kualiti rumah yang diperbuat daripada bata dan papan ini.’

    “Satu-satunya perbezaan,” katanya, adalah dalam kos. Rumahnya, tambahnya, ‘tidak sejuk pada waktu malam dan tidak panas pada siang hari.’

    Seorang kontraktor mengambil ukuran dalam sebuah rumah yang sedang dibina, memeriksa dinding dan penebat bumbung yang diperbuat daripada sisa pertanian dan miselium cendawan di Nairobi. – AP
    Pekerja memproses sisa pertanian untuk digunakan dalam pembinaan dinding rumah dan penebat bumbung di kilang MycoTile di Nairobi. – AP
    Palet dibuat daripada sisa pertanian, digunakan dalam pembinaan dinding rumah dan penebat bumbung, dipamerkan di kilang MycoTile. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    KULAT JAWAPAN KEPADA KRISIS PERUMAHAN NAIROBI

    Kerja MycoTile boleh menjadi satu rahmat untuk Nairobi, di mana pemimpin tempatan menyebut krisis perumahan yang telah menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal atau tinggal di penempatan tidak formal dan kawasan kediaman, mudah terdedah kepada kebakaran dan isu kebersihan. Angka rasmi mengatakan terdapat defisit perumahan berjumlah sekurang-kurangnya 2 juta unit di metropolis dengan populasi lebih 5 juta orang.

    Kebanyakan rakyat Kenya adalah penyewa dan mereka yang merupakan pemilik rumah membina dari asas sehingga siap selama bertahun-tahun dan bukannya mengupah kontraktor. Sudah menjadi kelaziman untuk menemui orang yang tinggal di rumah yang tidak siap atau tidak lengkap untuk mengelak daripada membayar sewa di tempat lain.

    “Memperkenalkan bahan mampu milik seperti yang kami hasilkan memanfaatkan pasaran besar sedia ada dan menyumbang kepada penyediaan penyelesaian perumahan mampu milik,” kata Mtamu Kililo, pengasas MycoTile.

    Kililo berkata produk penebat syarikatnya berharga kira-kira dua pertiga daripada harga bahan standard.

    Membina unit satu bilik di Nairobi menggunakan bahan seperti bata, kayu dan kepingan timah biasanya menelan kos sehingga 150,000 syiling Kenya (kira-kira AS$1,000), hanya untuk struktur ringkas, dan angka itu boleh meningkat dua kali ganda bergantung pada kualiti kemasan, menurut anggaran daripada pembina.

    Menggunakan panel akar cendawan boleh mengurangkan satu pertiga daripada kos membina rumah dengan batu-bata. Murugi, penjual jalanan, membelanjakan kira-kira 26,880 syiling Kenya (AS$208) untuk panel rumahnya seluas 15 meter persegi.

    BAHAN BERASASKAN MISELIUM LEBIH MAMPAN

    Pihak berkuasa Kenya baru-baru ini mula mengusahakan rancangan nasional untuk me-ngurangkan pelepasan karbon dioksida dalam pembinaan dan bangunan, dengan inovasi yang diterajui firma tempatan sebagai tumpuannya.

    Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, kerajaan membenarkan MycoTile menggunakan kemudahan di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Perindustrian Kenya di Nairobi, di mana ia mempunyai akses kepada jentera.

    Panel pembinaan berasaskan cendawan MycoTile adalah lebih mampan daripada yang tradisional disebabkan ia boleh terbiodegradasi dan tidak berbahaya kepada alam sekitar, kata Kililo kepada The Associated Press.

    Ideanya bukan baharu, yang lain di tempat lain juga telah bereksperimen dengan miselium. Rumah miselium pertama di negara Afrika selatan Namibia telah dibina oleh kumpulan bukan untung MycoHAB pada Mei 2024, menggunakan teknologi yang dibangunkan untuk NASA.

    Di Belanda, seorang pencipta membuat keranda cendawan dengan mengikat miselium dengan serat rami dalam acuan khas yang akhirnya menyerupai keranda batu yang tanpa cat dari Mesir purba.

    Produk mampan daripada bahan biogeni menjadi idaman kerana ia mempunyai jejak karbon yang rendah dan tidak berpotensi menyumbangkan pelepasan, kata Nickson Otieno, seorang arkitek dan pakar kelestarian di Nairobi.

    Pembinaan ‘membentuk salah satu pelepasan karbon utama,’ tambahnya.

    Rangkaian Prestasi Bangunan Global, sebuah badan pemikir, awal tahun ini memberi amaran bahawa Kenya ‘berisiko terperangkap dalam beberapa dekad pembinaan intensif karbon’ tanpa campur tangan yang disasarkan.

    Kililo berkata syarikatnya juga menggunakan sisa pertanian dalam proses pengeluarannya, justeru mengurangkan potensi bahan cemar dan mengurangkan tekanan ke atas sistem pelupusan sisa.

    “Kami pergi ke Kenya barat di mana terdapat banyak kilang pembuatan gula dan mengumpul bahan buangan,” katanya.

    Sisa buangan pertanian yang dipasteur dimasukkan ke dalam komposit miselium daripada cendawan yang ditanam, mengikatnya menjadi panel padat. MycoTile menggunakan kira-kira 250 tan sisa pertanian setiap tahun, kata Kililo.

    LADANG CENDAWAN DI RWANDA

    Bagi Kililo, idea itu datang semasa biasiswa penyelidikan di ibu negara Rwanda Kigali, rumah kepada salah satu ladang cendawan terbesar di Afrika timur. Kililo berkata dia mempelajari proses penternakan cendawan di sana.

    “Substrat yang digunakan kelihatan seperti batu-bata dan saya fikir saya boleh menggunakannya dalam industri pembinaan,” katanya.

    Kembali ke Kenya, dia memutuskan untuk membuat blok kecil di dapurnya sebagai sebahagian daripada penyelidikannya dalam asas kulat bangunan mampan, tidak pernah membayangkan ia suatu hari nanti boleh menjadi komersial.

    “Saya mula melakukan proses yang sama, menanamnya di pantri saya, membakarnya dalam ketuhar saya,” katanya. “Pada mulanya ia hanya penyelidikan semata-mata.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda