Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah mentua sesak, menantu hilang privasi

    Salam sejahtera kepada pembaca ruangan ini.

    Apakah pendapat awda sekiranya sebuah rumah yang sederhana besar dihuni oleh tujuh buah keluarga yang sudah mempunyai anak? Merimaskan bukan?

    Ya, itulah yang saya jalani setiap hari. Saya merupakan seorang isteri yang baru mendirikan rumah tangga dan usia perkahwinan saya hampir mencecah setahun.

    Saya dan suami terpaksa tinggal di rumah mentua saya memandangkan kami belum mempunyai rumah sendiri.

    Kalau diikutkan hati, saya lebih suka tinggal di rumah orang tua saya tetapi disebabkan mereka tinggal di Daerah Belait dan kami suami isteri bekerja di bandar, maka kami tiada pilihan melainkan tinggal di rumah mentua.

    Gambar Freepik

    Sejujurnya, saya tidak mempunyai masalah persefahaman dengan ipar dan biras yang tinggal serumah, tetapi masalah privasi menjadi halangan terbesar saya dan suami.

    Selain itu, suara anak-anak buah saya yang kadangkala bising membuatkan saya lebih tertekan terutama selepas pulang bekerja.

    Pernah saya ingin meluahkan perasaan tidak selesa saya kepada suami, tetapi takut dia merasa kecil hati dan menyangka saya tidak suka akan keluarganya.

    Ruangan Kisah Kami ini sedikit sebanyak dapat meluahkan perasaan saya yang terpendam selama ini dan saya ingin mendapatkan pendapat awda apa yang perlu saya lakukan.

    Menantu Sabar

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih atas perkongsian yang cukup membuka mata para pembaca ruangan ini.

    Memang tidak mudah untuk berhadapan dengan situasi yang penuh cabaran seperti yang awda alami.

    Hidup bersama mentua, ipar, biras serta anak buah dalam satu rumah bukan saja menguji kesabaran, tetapi juga batas privasi yang sememangnya penting dalam perkahwinan, apatah lagi bagi pasangan yang masih baharu.

    Mungkin satu langkah bijak yang boleh awda lakukan ialah berbincang secara lembut dan penuh empati dengan suami.

    Luahkan perasaan awda dengan menekankan bahawa awda tidak bermaksud untuk memperkecilkan atau menolak keluarganya, tetapi lebih kepada keperluan ruang privasi untuk membina hubungan yang lebih kukuh.

    Tumpukan kepada keperluan awda berdua sebagai pasangan baharu yang memerlukan sedikit ruang untuk lebih memahami satu sama lain, tanpa rasa tertekan.

    Sementara itu, cuba cari masa dan ruang peribadi untuk diri sendiri, walaupun mungkin terhad, seperti mengambil masa di luar untuk berehat atau melakukan aktiviti bersama suami di luar rumah.

    Pendekatan ini, sedikit sebanyak, dapat membantu awda menangani tekanan sambil terus menghargai dan menghormati keluarga besar suami.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda