Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Sebuah rumah musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan Kampung Serdang, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 20 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Sungai Kebun dan bantuan tenaga dari Balai Bomba Beribi dan Balai Bomba Bandar Seri Begawan yang diketuai oleh DSO Maidin bin Haji Idris dikejarkan ke insiden kebakaran rumah pada pukul 12:13 tengah hari di kawasan Kampung Serdang.
Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat kejadian, didapati api besar membakar keseluruhan rumah dan anggota bomba dan penyelamat segera bertindak dengan memakai alat pernafasan serta memadam dengan menggunakan dua jet hos 64mm ke 38 mm, menggunakan control dividing breeching di mana air diperoleh dari air terbuka.
Rumah berkenaan diperbuat daripada abestos dan kayu, bertiangkan konkrit serta beratapkan zink dan api berjaya dikawal dalam masa 8 minit.
Rumah tersebut adalah milik warga tempatan dan didiami oleh dua orang penghuni.
JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan bahawa kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api seperti jenis debu kering, selimut api dan alat pengesan asap, memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik di dalam kediaman mereka dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah.
JB juga menasihatkan orang ramai memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta memastikan untuk menutup atau mencabut kepala gas jika tidak digunakan dan menggantikan kepala gas setiap lima tahun serta hos gas setiap dua tahun mengikut piawaian pihak BSM.
JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden melibatkan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Talian Kecemasan 995 dengan segera dan untuk memberikan maklumat yang tepat.
