PERTH, 21 DIS – Kebakaran hutan yang merebak di luar kawalan di pinggir bandar pantai barat Australia, Perth, hari ini telah memusnahkan beberapa buah rumah.
Amaran kecemasan tentang kebakaran yang bermula pagi ini telah dikeluarkan untuk kawasan pinggir timur Parkerville, dengan menyatakan kebakaran itu boleh mengancam nyawa dan kediaman.
Video dari udara hari ini menunjukkan sebuah rumah musnah sementara yang lainnya terbakar. Tetapi tahap kerosakan belum lagi diketahui sehingga kru pemeriksa dapat meninjau zon kebakaran. Tiada laporan segera mengenai kecederaan.
Ketua Kerajaan di Australia Barat, Roger Cook, berkata kejadian kebakaran itu sangat membimbangkan kerana ia berlaku di pinggir bandar Perth berdekatan dengan bukit yang berhutan lebat.
Pesuruhjaya Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan, Darren Klemm, berkata kebakaran itu terus meningkat walaupun terdapat usaha yang dilakukan oelh pihak bomba dan pesawat pengebom air. Kebakaran telah meranapkan 90 hektar hutan pada petang ini.
“Kami tahu Parkerville pernah mengalami kebakaran besar sebelum ini, termasuk kehilangan rumah jadi tahap kebimbangan adalah sangat tinggi,” kata Klemm. – AP


