Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Dua orang warganegara asing dan seorang penduduk tetap ditahan semasa Operasi Sepadu sempena malam tahun baharu yang dikendalikan ke atas sebuah rumah pekerja di Kampung Rimba oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Unit Pecah Rumah dan Curi Kereta dari Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei, di sini, hari ini, kesemua suspek berkenaan dibawa ke Pejabat Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan lanjut, di mana kes berkenaan disiasat di bawah Perintah Eksais 2006 Seksyen 146 (1) (d) berhubung kesalahan memiliki barang tegahan.
Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan Jenayah bersama agensi-agensi penguat kuasa undang-undang lain akan sentiasa membuat pemantauan dan mengesan penjenayah-penjenayah yang menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan di negara ini.

