BANDAR SERI BEGAWAN, 2001 – Satu lagi perkembangan baharu dicapai susulan pelancaran Tahun Melawat Brunei 2001 ialah pembinaan rumah persinggahan ala homestay pertama di kawasan paling sebati dengan pelancongan negara ini – Kampong Ayer.
Pembinaan rumah persinggahan itu memberi peluang seluas-luasnya kepada pelancong untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi suasana sebenar kawasan perkampungan di Kampong Ayer, kampung tertua di negara ini dan menjadi warisan bangsa Melayu Brunei.
Ketua Kampung Lorong Sikuna Haji Ahmad Haji Bujang (ketika itu) berkata beliau mendapat idea membina rumah persinggahan pelancong kerana melihat jumlah pelancong ke Kampong Ayer kian meningkat, terutama apabila adanya Tahun Melawat Brunei 2001.
“Sebagai salah satu tumpuan pelancong luar negara sempena menyambut Tahun Melawat Brunei 2001, amat wajarlah disediakan rumah persinggahan untuk pelancong yang memberi pengalaman tinggal di Kampong Ayer,” katanya.
Rumah persinggahan pelancong itu terletak di Sungai Brunei bertentangan dengan Dermaga Kastam Diraja Brunei dan antara pemandangan dari rumah persinggahan itu ialah Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Bangunan Pusat Kesenian Brunei.
Pembinaannya menelan belanja $170,000 dan mempunyai keluasan 6,033 kaki persegi yang dilengkapi dengan lima bilik tidur, empat tandas, dua tempat cuci muka dan empat bilik mandi.
Antara kemudahan lain di rumah persinggahan itu ialah ruang tamu, restoran mini, cafe house, alat karaoke dan telefon. Kemudahan internet dan faksimile dan alat hawa dingin juga dipasang bagi keselesaan pelancong.
Selain itu, pelbagai cenderamata dan hasil kraf tangan penduduk kampung dan barangan antik yang diperlukan oleh pelancong turut dijual selain minuman ringan dan majalah serta surat khabar. Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak $1 seorang dan sewa bilik bagi semalam ialah $60 hingga $70 termasuk sarapan pagi dan minum petang.