Wednesday, July 16, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah pusaka terbiar diubah jadi kafe

    KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Premis-premis usang tidak berpenghuni dan kelihatan kotor bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi kadangkala dijadikan tempat aktiviti jenayah dan kegiatan tidak bermoral.

    Namun, premis sedemikian boleh diusahakan semula dengan menerusi konsep repurpose atau penggunaan semula dengan tujuan baharu dengan cara mengekalkan struktur asal bangunan dan memberikan keunikan kepada premis menjadi  sebuah kafe atau hotel daripada bangunan lama.

    Mohd Shafiq Zolkipli, 39, mengambil inisiatif memanfaatkan rumah pusaka yang telah lama terbiar menjadi sebuah kafe yang  beroperasi sejak awal Februari lalu.

    Kafe yang dikenali sebagai ‘Kafe do8camp’ terletak di Lenggeng, Negeri Sembilan menggabungkan  warisan tradisional dengan gaya santai masa kini sebagai tarikan utama buat pengunjung.

    “Kafe do8Camp pada asalnya sebuah rumah pusaka milik nenek  isteri saya. Rumah itu didiami oleh bapa mentua saya, namun selepas beliau meninggal dunia pada 2020, rumah tidak lagi dihuni dan terbiar, sekali gus mendorong saya mencari kaedah untuk menghidupkan semula rumah lama era 1950-an tersebut.

    “Melihat pada kedudukannya yang strategik, iaitu terletak bersebelahan laluan utama  serta menjadi laluan tetap konvoi motosikal serta aktiviti berbasikal, rumah itu mampu menjadi lokasi yang berpotensi untuk perniagaan,” katanya kepada Bernama.

    Melalui inisiatif sendiri, Mohd Shafiq melakukan penambahbaikan terhadap struktur premis yang rosak tetapi mengekalkan keaslian seni bina kayu rumah kampung tersebut.

    Mohd Shafiq Zolkipli mengusahakan kafe ‘do8camp’ bersama isterinya. – Bernama

    Ruang halaman rumah itu diubah suai menjadi  ruang santai yang  lengkap dengan kerusi dan meja camping manakala ruang belakang pula disediakan khas untuk acara kecil atau sesi ‘lepak’ berkumpulan.

    Katanya suasana tenang dan dikelilingi kehijauan, menjadikan kafe itu tempat sempurna untuk berehat sebentar sambil menikmati secawan kopi.

    Rumah pusaka yang terbiar diubah suai menjadi kafe ala camping. – Bernama

    “Kafe ini mengetengahkan konsep ala camping  yang saya bangunkan menerusi modal daripada poket (simpanan) saya sendiri dan diusahakan bersama-sama isteri. Kafe ini boleh memuatkan kira-kira 60 orang pada satu-satu masa. Di sini kita beri tumpuan kepada penyediaan pelbagai jenis kopi serta beberapa makanan sampingan termasuk pasta,’’ katanya.

     Mengulas lanjut, beliau berkata meskipun terletak di kawasan kampung, sejak dibuka enam bulan lalu kafe itu tidak pernah sunyi daripada kunjungan pelanggan.

    “Sebelum ini, kami menyasarkan pelanggan dalam kalangan penunggang motosikal (yang berkonvoi) serta mereka yang berbasikal, namun tanpa disangka perniagaan kami ini turut disokong oleh penduduk setempat, sekali gus menjadikan kafe ini sebagai lokasi mereka berkumpul dan bersosial sambil minum kopi.  

    “Suasana lebih meriah pada hujung minggu dan musim cuti sekolah apabila anak-anak rantau  yang pulang ke kampung turut singgah sebentar untuk minum kopi di sini,” katanya sambil menambah kafe dibuka dari jam 5 petang hingga tengah malam setiap hari.

    Mengambil contoh pengalamannya, Mohd Shafiq mengesyorkan pemilik rumah terbiar memanfaatkan hartanah mereka itu menerusi konsep repurpose yang bukan sahaja memastikan bangunan terpelihara tetapi sebagai sumber pendapatan.  

    “Rumah yang dibiarkan begitu sahaja, tanpa dihuni atau dipelihara, akan cepat rosak, lebih-lebih lagi rumah kayu yang cenderung dimakan anai-anai jika ditinggalkan kosong untuk satu tempoh yang lama. Apabila rosak, pemilik atau waris terpaksa berbelanja besar untuk membaiki dan membaik pulih kerosakan. Jangan ingat rumah lama tidak ada nilainya. Jika tahu cara selain dijaga dan dipulihara, sesebuah rumah yang usang boleh memberi hasil kepada pemilik,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda