WASHINGTON, 26 FEB – Rumah Putih mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mengambil alih kawalan dalam pemilihan organisasi berita yang menyertai kelompok media bagi liputan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, keputusan yang sebelum ini dikendalikan oleh sebuah persatuan bebas sejak 1914, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Setakat ini, Persatuan Koresponden Rumah Putih (WHCA) mempunyai kuasa penuh dalam menentukan wartawan yang mewakili semua media yang diakreditasi dalam keadaan tempat liputan yang terhad.
Berdasarkan prosedur standard, kelompok wartawan berkenaan akan menyampaikan maklumat dan petikan yang dikumpulkan kepada semua wartawan yang diakreditasi.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata selama beberapa dekad WHCA telah “menentukan wartawan mana yang boleh mengemukakan soalan kepada Presiden AS dalam ruang yang paling eksklusif. (Sekarang) Tidak lagi.”
“Pasukan media Rumah Putih dalam pentadbiran ini akan menentukan siapa yang mendapat akses terhad dan eksklusif di ruang seperti (pesawat) Air Force One dan Oval Office,” katanya pada satu taklimat media.
Menurut Leavitt, langkah itu bertujuan membolehkan organisasi media baharu berkongsi tanggungjawab berkenaan.
“Media arus perdana yang telah lama berada di sini masih akan turut serta dalam kelompok media itu, tetapi suara baharu juga akan diberi peluang,” katanya.
Leavitt berkata: “Dengan menentukan organisasi media yang menganggotai kelompok media secara harian, Rumah Putih akan mengembalikan kuasa kepada rakyat Amerika.”
WHCA dalam satu kenyataan menyifatkan langkah itu merobekkan kebebasan media di negara itu.
“Ia memberi gambaran bahawa kerajaan akan menentukan wartawan yang membuat liputan terhadap Presiden. Dalam sebuah negara bebas, pemimpin sepatutnya tidak boleh memilih siapa yang melaporkan tentang mereka.”
Akhbar The New York Times pula menyifatkan keputusan itu dalam kenyataan di platform X sebagai, “usaha untuk mengurangkan akses orang ramai kepada maklumat yang bebas dan boleh dipercayai mengenai individu paling berkuasa di Amerika.”
Langkah itu dibuat ketika berlaku pertikaian antara Rumah Putih dengan agensi berita Associated Press. – Bernama/dpa
