WASHINGTON, 20 OGOS – Rumah Putih kelmarin melancarkan akaun rasmi di platform TikTok ketika aplikasi media sosial milik China itu masih berdepan ketidakpastian undang-undang di Amerika Syarikat (AS).
Presiden Donald Trump sebelum ini menangguhkan penguatkuasaan undang-undang persekutuan yang mewajibkan penjualan atau pengharaman TikTok atas alasan keselamatan negara. Undang-undang berkenaan sepatutnya berkuat kuasa sehari sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu.
Trump, yang kempen pilihan raya 2024 banyak bergantung pada media sosial dan diketahui gemar menggunakan TikTok, turut memanjangkan tempoh 90 hari sehingga pertengahan September bagi memberi ruang aplikasi berkenaan mencari pembeli bukan dari China atau berdepan pengharaman di AS.
Akaun peribadi Trump di TikTok kini mempunyai lebih 110 juta pengikut, namun kali terakhir beliau memuat naik video ialah pada 5 November 2024 sempena Hari Pilihan Raya. – AFP


