Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah Putih letakkan Iran dalam notis

    WASHINGTON, 2 Feb – Rumah Putih Donald Trump memberikan isyarat pendirian yang lebih tegas terhadap Iran awal pagi tadi, mengutuk satu ujian peluru berpandu dan mengisytiharkan Amerika telah meletakkan republik Islam itu “dalam notis.”

    Dalam ucapan awam pertamanya sejak mengambil alih tugas, Penasihat Keselamatan Negara, Michael Flynn menuduh pentadbiran Barack Obama telah gagal memberikan tindak balas secukupnya terhadap tindakan songsang Tehran.

    Flynn memetik satu ujian peluru berpandu baru-baru ini dan tindakan Iran yang menyokong pemberontak di Yaman sebagai satu contoh kelakuan songsang Tehran.

    “Iran kini berasa berani,” ujar Flynn, dalam satu ucapan yang ditulis terlebih dahulu, “bermula hari ini, kami akan secara rasmi meletakkan Iran dalam notis,” katanya tanpa mengulas lanjut.

    Chris Sherwood, seorang jurucakap Pentagon, berkata tidak terdapat “sebarang perubahan dalam postur ketenteraan AS” sekitar Iran ketika ini.

    “Kami kekal bersedia untuk melindungi kepentingan Amerika dan rakan-rakannya di seluruh dunia,” katanya.

    Kedua-dua Trump dan FLynn telah menjadi lawan vokal dalam satu perjanjian antarabangsa yang menyaksikan Iran membendung program nuklearnya sebagai balasan bagi pelepasan sekatan.

    Flynn berkata ujian peluru berpandu pada Ahad lepas adalah “bertentangan dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2231,” yang meminta Iran untuk tidak menjalankan ujian-ujian peluru berpandu yang berupaya untuk melancarkan senjata nuklear.

    Program peluru berpandu balistik Iran telah menjadi perbalahan dengan pihak Barat sejak perjanjian nuklear itu berkuat kuasa pada Januari tahun lepas.

    Namun ujian-ujian sebelum ini, meskipun berkontroversi, tidak didapati melanggar garis pandu PBB. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda