WASHINGTON, 6 MAC – Rumah Putih kelmarin mengesahkan bahawa pentadbiran Trump sedang mengadakan perbincangan langsung dengan kumpulan Palestin, Hamas dan menegaskan bahawa rundingan itu adalah demi kepentingan Amerika Syarikat (AS), lapor agensi Anadolu (AA).
Jurucakap Karoline Leavitt berkata Israel telah dirujuk mengenai perkara ini dan perbincangan masih ‘berjalan’.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas skop rundingan itu, termasuk sama ada ia hanya berkaitan pembebasan tawanan tambahan yang ditahan oleh Hamas atau turut melibatkan cadangan Trump yang dikritik secara meluas untuk mengambil alih Semenanjung Gaza.
“Berdialog dan berbincang dengan pelbagai pihak di seluruh dunia demi kepentingan rakyat Amerika adalah sesuatu yang dibuktikan oleh presiden sebagai satu usaha berlandaskan niat baik untuk melakukan perkara yang betul bagi rakyatnya,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih.
Laman berita Axios kelmarin mendedahkan wujud rundingan sulit yang berlangsung di Doha, Qatar sejak beberapa minggu lalu.
Axios mengenal pasti utusan khas presiden AS bagi hal ehwal tawanan, Adam Boehler sebagai ketua delegasi AS dan perkara itu turut disahkan oleh Leavitt.
Gencatan senjata serta perjanjian pertukaran tahanan yang bermula pada 19 Januari hanya berjaya menghentikan keganasan di Gaza buat sementara waktu.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu enggan berunding mengenai fasa kedua daripada tiga fasa perjanjian itu.Hamas pula bertegas supaya rundingan diteruskan ke fasa kedua, merangkumi pengunduran Israel dan menamatkan perang secara menyeluruh. – Bernama
