Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Sebuah rumah kayu bertiang konkrit di Kampung Lurong Dalam, Mukim Burung Pingai Ayer telah roboh keseluruhannya dalam kejadian yang berlaku pagi kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), panggilan kejadian rumah roboh berkenaan diterima pada jam 5:09 pagi dan sebuah bot bomba bersama tujuh orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh ABK No 53 Haji Latif bin Haji Wahab dari Balai Bomba Pelancaran telah dikerahkan ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan memberi bantuan.
Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat yang bertugas mendapati keseluruhan sebuah rumah yang diperbuat daripada kayu, tiang konkrit dan beratapkan zink telah roboh keseluruhannya dan kesemua penghuni telah pun keluar dalam keadaan selamat sebelum perahu bomba sampai.
Rumah itu didiami oleh seramai 11 orang penghuni dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan. Anggota bomba dan penyelamat terus menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada penghuni rumah yang terperangkap, sementara itu, anggaran kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.
JBP menyarankan para pemilik rumah perlu memastikan dan peka mengenai keadaan rumah mereka, sama ada masih selamat atau tidak untuk didiami. Jika mereka mendapati keadaan tiang serta rumah sudah mula condong atau tidak stabil, berkemungkinan rumah itu akan roboh dan pemilik disarankan bersedia untuk mengosongkan rumah berkenaan.
JBP turut menasihatkan jika berlaku sebarang insiden, orang ramai hendaklah menghubungi terus Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
