Monday, November 18, 2024
32.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah Suu Kyi dilelong lagi, tiada pembida

    YANGON, 15 OGOS – Rumah besar di tepi tasik di mana pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menghabiskan masa selama bertahun-tahun dalam tahanan rumah telah dilelong buat kali kedua hari ini tetapi sekali lagi tidak menarik sebarang bidaan, kata wartawan AFP.

    Rumah dua tingkat dan tanah seluas 1.9 ekar itu dijual berikutan pertikaian selama berdekad-dekad mengenai hartanah antara pemenang Nobel itu – yang telah ditahan sejak rampasan kuasa tentera 2021 – dan abangnya.

    Lelongan itu menetapkan asas bidaan pada 300 bilion kyat – kira-kira AS$140 juta pada kadar pertukaran rasmi junta sebanyak 2,100 kyat berbanding dolar.

    Hartanah bersaiz sama di kawasan kejiranan Yangon mewah mungkin berharga sekitar satu atau dua juta dolar, kata seorang broker hartanah tempatan kepada AFP pada Mac.

    Menjelang lelongan, sekumpulan kecil wartawan berkumpul di luar rumah era kolonial itu di kawasan University Avenue, tidak jauh dari kedutaan Amerika Syarikat (AS).

    Di atas pintu pagar, potret bapa Suu Kyi, wira kemerdekaan Aung San, mengawasi prosiding sementara polis bersenjata berkawal di belakang beg pasir.

    Notis yang ditampal di pintu oleh mahkamah tempatan mengiklankan ‘Bangunan dan setiap pusaka turun-temurun dengan nama Daw Khin Kyi’ – ibu Suu Kyi.

    Seorang pegawai lelong keluar dari perkarangan dan bertanya tiga kali untuk mana-mana pembeli, kemudian mengumumkan lelongan itu tidak berjaya apabila tidak ada yang tampil. – AFP

    Pegawai lelongan berjalan melalui pintu pagar rumah keluarga pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang ditahan di Yangon, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda