ACS, HUNGARY – Rumah daripada lumpur dan jerami telah lama dianggap sebagai simbol kemiskinan dan ketinggalan zaman, namun rumah tersebut kini semakin popular di Hungary sebagai pilihan alternatif yang murah dan mesra alam, berbanding dengan bangunan konkrit.
Pembina terkenal, Janos Gaspar, yang terlibat dalam pengubahsuaian rumah tanah liat, kini sibuk sehingga tak mampu untuk menerima lebih banyak projek.
“Saya sudah penuh dengan projek untuk tiga tahun akan datang. Minat dalam rumah tanah semakin meningkat,” kata lelaki berusia 48 tahun ini yang telah membina lebih daripada 200 rumah daripada tanah liat kepada AFP.
Dikenali sebagai pembinaan tanah padat, teknik ini telah digunakan sejak zaman Neolitik.
Teknik ini kini kembali popular disebabkan kesan ekologi dan kecekapan tenaga yang tinggi.
Bahan-bahan tempatan yang mudah didapati membentuk asas bagi apa yang digelar rakan arkitek Gaspar, Adam Bihari sebagai “seni bina semula jadi.”
“Rakyat Hungary tahu cara-cara membina rumah daripada bahan yang mudah didapati, sama ada dari bahan yang ada di sekitar mereka atau diwarisi daripada ibu bapa,” kata Bihari yang memakai kaca mata sambil memplaster dinding bata tanah liat dengan lumpur di bandar Acs di bahagian barat laut Hungary.
“Dinding ini telah dibina 100 tahun yang lalu dan seharusnya dapat bertahan lagi selama 100 tahun lagi,” kata Bihari.
Berbeza dengan konkrit yang menyumbang kira-kira lapan peratus daripada jumlah pelepasan karbon dioksida global, “rumah dari tanah liat akhirnya akan terurai secara semula jadi, tanpa meninggalkan sebarang sisa buangan buatan manusia,” katanya.
Bersama Gaspar, Bihari mengajar kaedah pembinaannya kepada puluhan pelatih setiap tahun. Di halaman di sebelah longgokan tanah berpasir dan jerami, puluhan pelatih melihat Gaspar menunjukkan cara-cara membuat bata daripada lumpur.
“Jenis tanah ini sangat sesuai dan ia boleh ditemui di seluruh Hungary,” kata Gaspar ketika sebuah mesin pembancuh simen mencampurkan bahan-bahan menjadi lumpur.
“Awda boleh membuat satu bata dalam masa satu minit, dan kira-kira 20,000 bata diperlukan untuk membina sebuah rumah,” katanya kepada kumpulan tersebut sambil menguli sedikit adunan ke dalam acuan kayu.
Amalan yang berusia beberapa abad itu sudah ketinggalan dan tidak popular semasa era komunis berusia empat dekad di Hungary.
“Tradisi rakyat tidak disambut baik secara rasmi dan diambil alih oleh bahan-bahan moden,” kata Bihari yang berusia 33 tahun.
Dinding bata tanah sering kali dicampurkan dengan simen, menyebabkan reput apabila kelembapan terperangkap di dalam dinding, tambahnya.
Lebih satu dalam tujuh orang Hungary masih tinggal dalam rumah binaan tanah liat, terutamanya di kampung-kampung di kawasan yang lebih miskin.
Bihari mengatakan sukar untuk menghapuskan kaitan lama mengenai kelembapan dan kemiskinan.
Namun, menurut arkitek itu, minat dalam bahan-bahan semula jadi semakin meningkat dalam kalangan pemaju dan pelabur. “Ini merupakan bahan binaan masa depan,” katanya.
Bihari mengatakan bahawa sifat terma tanah liat menjadikannya sesuai untuk iklim yang berubah-ubah di Hungary, di mana terdapat musim panas yang panas dan musim sejuk yang sejuk.
Salah seorang peserta perkhemahan, Timea Kiss, yang sudah memiliki sebuah rumah tanah liat tetapi ingin belajar bagaimana untuk mengubahsuaikannya, berkata rumahnya adalah panas secara semula jadi pada musim sejuk dan sejuk pada musim panas.
“Para pengunjung yang kagum bertanyakan kami di mana penghawa dinginnya, tetapi sebenarnya tiada,” kata wanita berusia 42 tahun itu.
Rumah tanah juga mengawal kelembapan sendiri, kata Bihari, yang boleh membantu penghuni dengan masalah penyakit asma. Ia juga kalis api dan tidak toksik.
“Awda mendengar mengenai rumah ‘pintar’ malah bata pintar,” ujar Bihari. “Namun bagi saya ia tidak masuk akal…tanah liat adalah pintar secara semula jadi.”
Kos tenaga yang meningkat juga menjadi satu faktor di sebalik kepopularan rumah tanah liat.
Beberapa pelatih di Acs memberitahu AFP mereka tidak lagi mampu membina atau membeli rumah biasa.
“Saya dan isteri berminat dalam penyelesaian lebih murah seperti ini, ia satu kelebihan kerana ia baik untuk alam sekitar,” kata pemandu trak Zsolt Cserepkei, 31. – AFP