Selepas mengesahkan sudah bercerai, penyanyi Amylea Azizan mendedahkan rumah tangganya bersama bekas suami iaitu Mohammad Aqbar Mohamad mula berdepan masalah sejak lima bulan selepas mereka diijab kabul.
Sepanjang melalui pergolakan rumah tangga, Amylea, 38, mengakui apa yang berlaku memberi kesan kepada kestabilan emosinya, namun dia memilih untuk fokus kepada kerja sehingga mampu bangkit dan menjadi lebih kuat.
“Sebenarnya lima bulan selepas kami berkahwin, hubungan tu dah tak berapa okey. Saya ada dua talak, yang pertama pada Januari awal tahun dan talak kedua dua bulan selepas itu, memang sudah lama.
“Memang saya melalui situasi yang agak sukar bagi saya sepanjang tahun lalu tapi tuhan bagi kita ujian,” katanya kepada Kosmo pada majlis pelancaran sebuah pusat rawatan premium di Bangsar, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Tak Pernah Hilang itu berusaha menjadi isteri terbaik memandangkan hasratnya untuk mempunyai sebuah keluarga harmoni.

“Saya tak pernah tinggi suara kepada dia. Saya memang mahu menjadi seorang isteri yang baik, dan juga menantu yang baik. Saya betul-betul berusaha sehabis baik.
“Saya hanya mahu kehidupan yang sederhana, menjadi seorang isteri. Itu sebenarnya salah satu impian terbesar saya tetapi perkara itu tidak menjadi,” katanya lagi.
Pada masa sama, dia tidak berniat menyembunyikan masalah rumah tangganya, sebaliknya masih berusaha menyelamatkan perkahwinan yang dibina pada November 2023.
“Saya juga bukanlah berniat nak sembunyikan dari media tapi saya rasa bila kita bersuara dalam keadaan sedih atau marah, kita mungkin akan terlebih kongsi atau cakap benda yang tak sepatutnya sampai menyesal.
“Saya tak nak kongsikan pada awalnya sebab menjaga hubungan dengan ibu mentua dan anak tiri sebab saya sangat baik dengan mereka jadi tak mahu mereka tersinggung,” jelasnya. – Agensi
