Oleh Yusrin Junaidi –
BELAIT, 4 MEI – Lebih 200 orang menyertai Majlis Kesyukuran bersempena Hari Keluarga Kebangsaan 2025 anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Tingkat lI, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Abdul Azim bin Haji Adzid @ Haji Abdul Majid, diikuti dengan tazkirah bertajuk Jalan Ke Syurga Bermula di Rumah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Intipati tazkirah antaranya menyentuh mengenai rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi adalah ruang utama untuk mencari ketenangan jiwa. Ketenangan itu tidak bergantung kepada saiz atau kemewahan rumah, sebaliknya lahir daripada jiwa-jiwa yang mendiami dan mengisinya dengan nilai-nilai kebaikan.
Rumah juga merupakan tempat pertama dalam membina insan-insan soleh, serta menjadi medan utama untuk meraih kunci-kunci menuju syurga. Hakikatnya, rumah sebenar kita adalah di syurga, dan perjalanan ke arah itu bermula dengan cara kita membina, mengurus dan menghidupkan rumah kita di dunia ini.
Majlis diteruskan dengan solat Fardu Asar berjemaah dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Hari Keluarga yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminnuddin.
Turut hadir, ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli jawatankuasa tertinggi Hari Keluarga Kebangsaan, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, pegawai-pegawai kerajaan, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, penduduk-penduduk kampung, persatuan-persatuan, rakan-rakan strategik dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku pengerusi majlis, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh.
