Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah terbuka eratkan hubungan Brunei-Singapura

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Majlis Rumah Terbuka Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Negara Brunei Darussalam berlangsung dengan penuh kemeriahan di Royal Berkshire Hall, hari ini.

    Berangkat ke rumah terbuka tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah berserta anakanda-anakanda.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia serta kerabat diraja dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon dan isteri.

    Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri serta Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Majlis berkenaan diadakan semasa lawatan Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Ehwal Luar, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki bin Osman dan isteri, Sadiah Shahal serta rombongan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah berserta anakanda-anakanda berkenan bergambar ramai pada Majlis Rumah Terbuka Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke majlis berkenaan bersama YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    TYT Dr Mohamad Maliki beramah mesra bersama jemputan yang hadir. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Ketika ditemu bual baru-baru ini, TYT Dr Mohamad Maliki antara lain mengongsikan perasaan teruja untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan.

    Beliau yang sudah ke Brunei sejak 2013 dan memimpin delegasi sejak 2016 berkata bahawa kunjungan ke negara ini menunjukkan lambang persahabatan antara
    Singapura dan Brunei Darussalam.

    Tuan Yang Terutama turut mengongsikan pengalaman setiap kali datang ke negara ini, di mana beliau merasakan kemesraan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan di Brunei dengan mengadakan rumah terbuka dan merasa terharu dengan sambutan yang
    diberikan.

    “Kami sering kali mengatakan persahabatan antara Singapura dan Brunei melebihi perhubungan diplomatik,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, tahun ini adalah tahun yang lebih penting dan unik di mana ia merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Singapura dan Brunei Darussalam. Ia bukan sahaja menunjukkan 40 tahun bersama, tetapi 40 tahun mendalami hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara, tambahnya.

    Antara tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tersebut ialah menteri-menteri kabinet, para diplomat asing ke negara ini dan tetamu yang lain.

    Majlis bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan rapat dan mesra antara Singapura dan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda