Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang masih meriah dirasakan, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka di kediaman Duta Besar dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam di Jalan Kebangsaan, di sini, kelmarin.
Mengalu-alukan kedatangan tetamu-tetamu dan para jemputan khas ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Prof Dr Achmad Ubaedillah dan isteri Siti Rif’ah.
Berkenan hadir ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri yang diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Rakiah.

Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet, dan ahli-ahli diplomat serta para jemputan khas.
Majlis seumpamanya diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama pegawai-pegawai kerajaan Republik Indonesia dan Brunei serta wakil-wakil kerajaan negara asing di negara ini dalam sambutan yang penuh aman dan harmoni.
TYT Prof Dr Achmad Ubaedillah ketika ditemu bual berkata, menjunjung kasih ke atas keberangkatan kerabat diraja ke majlis rumah terbuka dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran para jemputan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan yang menunjukkan hubungan erat antara kedua belah pihak dan beliau juga berharap agar majlis berkenaan dapat mengeratkan lagi kerjasama yang sedia ada.
Tuan Yang Terutama turut menyentuh mengenai hubungan erat antara Brunei Darussalam dan Indonesia yang kini semakin terjalin erat dan beliau bersyukur hubungan ekonomi kedua-dua buah negara juga semakin meningkat sepanjang tahun serta berharap ia akan semakin bertambah baik pada tahun-tahun mendatang.
Sepanjang majlis, para jemputan juga dihidangkan dengan makanan tradisi khas Indonesia seperti Lontong Cap Gomeh, rendang, Sate Padang, Bakso Malang, Asinan Bogor, Siomay dan pelbagai jenis aneka kuih muih khas Indonesia.


