Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah Terbuka Malaysia MADANI untuk rakyat

    KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan yang mengatakan bahawa penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI sempena Aidilfitri di enam negeri sebagai pembaziran mahupun tindakan ‘menunggang agama.’

    Perdana Menteri berkata program itu bukan dilaksanakan atas kapasiti peribadi, sebaliknya dianjurkan kerajaan sebagai usaha mendampingi dan menyantuni rakyat.

    “Kerajaan di mana-mana pun akan buat (majlis rumah terbuka), bukan membazir kerana kita beri makan kepada rakyat. Bagi saya ia tidak membazir.

    “Kalau buat atas kapasiti peribadi termasuk keluarga, wajarlah guna wang dari poket sendiri, tetapi ini (anjuran) kerajaan untuk rakyat dan (perbelanjaan) jauh lebih murah (jika) buat di Alor Setar, Kedah berbanding di Putrajaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri di enam negeri yang disifatkan sebagai keterlaluan.

    Majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri akan diadakan di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, dengan Kedah menjadi lokasi pertama esok.

    Ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak dijemput ke majlis yang berlangung esok, Anwar berkata, beliau difahamkan pihak penganjur sudah menghantar jemputan kepada Menteri Besar Kedah itu. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan pekarangan Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda