Oleh Amri HTZ –
Terdapat banyak alasan mengapa kucing sukakan kotak-kotak untuk berehat, bermain atau bersembunyi dan salah satunya disebabkan ruangannya yang tertutup menawarkan perlindungan untuk dirinya.
Hal berkenaan kadangkala menyebabkan kotak-kotak terutamanya yang dibuat daripada kadbod cepat rosak. Untuk mengelakkan hal ini berlaku sekali gus bagi memberikan keselesaan kepada kucing peliharaan, apa kata reka kotak khusus untuk haiwan berkenaan menggunakan kayu yang cukup mudah
dilakukan.
Antara barang diperlukan
Mesin gergaji circular
Dowel
Kepingan papan atau papan lapis
Mesin gerudi
Gam kayu
Skru
Pita pengukur
Mesin jig
Kertas pasir
MULAKAN LANGKAH PEMOTONGAN
Papan lapis tersedia dengan ketebalan 5/8 inci akan dipotong dengan ukuran 8 x 13 inci untuk bahagian sisi kiri dan kanan dan 8 x 21¼ inci bagi bahagian atas dan bawah.
Sementara untuk bahagian depan rekaan, kayu daripada perabot yang rosak akan digunakan semula dan dipotong dengan ukuran 13 x 20 inci.
Awda juga boleh menggunakan papan lapis yang sama untuk mereka bahagian depan ini. Potong kayu-kayu tersebut menggunakan mesin gergaji circular atau gergaji meja.
(Gambar 2)












Sementara untuk bahagian antena, tombol dan kaki TV, kayu-kayu seperti dowel, tombol peralatan elektrik terpakai dan kayu daripada batang penyapu akan digunakan.
Bagi tombol TV, jika ia tidak dimiliki, awda juga boleh merekanya sendiri dengan cara menebuk kayu menggunakan hole saw bagi mendapatkan bentuk bulat. (Gambar 3)
LAKAR KADBOD SEBAGAI TEMPLAT
Melakar bentuk diperlukan sebelum memulakan pemotongan merupakan suatu kemestian bagi mengelakkan pembaziran material. Untuk itu, kadbod akan digunakan bagi melakar bentuk bahagian hadapan TV.
Selain itu, templat tersebut juga boleh mempercepatkan proses pembuatan jika awda mereka lebih daripada satu rekaan. (Gambar 4)
Templat tersedia kemudiannya akan dilekatkan pada permukaan depan rekaan. Bahagian templat yang ditandakan A, B, C, D kemudiannya ditebuk menggunakan hole saw berukuran 3½ inci. Langkah ini merupakan langkah bagi mendapatkan sudut berbentuk bulat seperti kaca TV. (Gambar 5)
Setelah lubang ditebuk, kini awda hanya perlu memotong permukaan kayu menggunakan mesin jig dengan cara menyambungkan bahagian luar bulatan di antara satu sama lain sebagai ruangan pintu rekaan. (Gambar 6)
CANTUM KEPINGAN PAPAN MENJADI SATU
Sebelum mencantumkan kesemua bahagian menjadi satu menggunakan stapler atau skru dengan bantuan gam kayu pada permukaan cantuman, gosok keseluruhan permukaan potongan menggunakan kertas pasir 80 grit.
Ini bertujuan menghaluskannya daripada sebarang serpihan kayu yang tajam terhasil daripada proses pemotongan. Kemudian cantum bahagian depan dan sisi rekaan dengan menyapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kayu. (Gambar 7)
Langkah cantuman diikuti dengan bahagian atas dan bawah. Gunakan alat pengapit kayu untuk membantu awda menetapkan kedudukan bahagian sisi kiri dan kanan rekaan sementara awda menetapkan kayu bahagian atas dan bawah. (Gambar 8)
Papan lapis berketebalan 1/8 inci pula dipilih untuk menutupi bahagian belakang rekaan.
Papan lapis yang lebih tebal juga boleh digunakan namun setentunya akan menambah berat keseluruhan rekaan yang memerlukan ia mudah untuk dialih daripada satu tempat ke tempat lain. (Gambar 9)
Sebagai tambahan untuk lebih mencantikkan rekaan sekali gus menutupi bahagian cantuman pada permukaan depan rekaan, kepingan kayu berukuran ¾ x 21 inci (dua batang) dan ¾ x 14.25 inci (dua batang) akan cantumkan. (Gambar 10)
LANGKAH TERAKHIR REKAAN
Dalam menjadikan rekaan tampak lebih realistik, antena daripada kayu dowel berdiameter 5 milimeter akan digunakan.
Untuk menetapkan kedudukannya, blok kayu berbentuk trapezium akan dipotong menggunakan mesin jig. Bahagian sisi blok kayu tersebut memerlukan awda memotongkannya dengan sudut 45 darjah. (Gambar 11)
Sebelum mencantumkan bahagian kaki, antena dan tombol rekaan, ia terlebih dahulu dicat menggunakan cat sembur berwarna hitam. Dua lapisan cat diperlukan untuk memastikan warna asal latar tidak timbul setelah cat mengering.
Dengan menetapkan kesemua bahagian yang telah dicat, kini awda hanya perlu memujuk ‘si bulus’ untuk menjadikan rumah TV yang direka sebagai tempat untuknya bermain! (Gambar 12)
Tip rekaan
Bagi memastikan antena pada rekaan tidak mudah patah ketika kucing bermain, bahagian hujung kayu yang akan dimasukkan pada lubang pendakap akan dipasang dengan spring.
Setelah rekaan siap dicat, berikan masa untuknya mengering dan bau cat menghilang sebelum membolehkan kucing peliharaan menggunakannya.

