Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 31 Dis – Dalam usaha untuk membantu pengusaha-pengusaha kecil di Negara Brunei Darussalam, acara Rumahku Ceria telah diadakan baru-baru ini selama enam hari bermula 25 hingga kelmarin.
Rumahku Ceria yang diadakan di sebuah rumah di Jalan Karakas Payau, Kampung Kupang ini berjaya menarik ramai pengunjung dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai bagi mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang acara tersebut dijalankan.
Dayang Nurul Syahirah Mohammad Noor, 21, selaku penganjur Rumahku Ceria ini turut mengatakan beliau terinspirasi untuk menganjurkan acara seumpama ini dari program seperti Bandarku Ceria, di samping untuk mengisi masa lapang semasa cuti panjang persekolahan bulan Disember ini.
Beliau turut menyatakan Rumahku Ceria ini dihasrat dapat menambah pendapatan peniaga-peniaga yang menyertainya dan menggalakkan orang ramai untuk berbelanja di negara sendiri.
Antara aktiviti yang disediakan semasa acara Rumahku Ceria ini adalah seperti permainan Nerf, bouncer, permainan buih-buihan dan pesta jualan dari peniaga-peniaga tempatan.
Turut sama memeriahkan acara tersebut ialah peniaga-peniaga tempatan seperti Ahoa Burger, Buih-buih Cinta dan Haneeshenna.bn.
Selain daripada itu, bagi menarik lagi pengunjung-pengunjung ke Rumahku Ceria hadiah cabutan nombor bertuah turut disediakan bagi para pengunjung.