Pelakon veteran Ruminah Sidek meluahkan rasa syukur kerana tidak pernah berdepan dengan masalah bayaran rendah seperti mana yang sering menjadi isu dalam kalangan rakan seangkatannya.
Menurut laporan mStar, Ruminah atau mesra disapa Mak Mah, 79, rata-rata produksi cukup faham akan pengalamannya dan menghormati dia sebagai salah seorang anak seni berbakat besar.
“Bagus, harga yang saya terima semakin bagus, dan setakat ini tak pernah lagi ada beri tawaran mengarut,” katanya kepada mStar
Tambah Mak Mah dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau membuat rundingan berlebihan setiap kali menerima tawaran berlakon kerana baginya, rezeki yang datang sudah cukup berbaloi.
Malah, ditanya mengenai pemilihan watak, Mak Mah bukan seorang yang cerewet dan sedia menerima apa sahaja peranan asalkan sesuai dengan usianya kini.
“Kalau ada tawaran adalah, apa sahaja watak nak diberi saya okay sahaja asalkan kena pada usia sekarang”.
“Saya pun tidak ada buat rundingan nak lebih, sebab bayaran yang saya terima dirasakan berbaloi,” jelasnya.
Ruminah tampil berkongsi kisah kerjaya seni dalam forum Tribute Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Majlis tersebut merupakan salah satu program sisipan sempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang dijadualkan berlangsung pada 1 November ini.
Untuk rekod, Ruminah merupakan antara pelakon wanita veteran yang masih aktif berlakon biarpun usianya hampir mencecah 80 tahun.
Aktres itu mula bergiat dalam bidang lakonan sejak era 1960-an dan telah membintangi puluhan filem, drama dan telefilem sepanjang kerjayanya. – Agensi


