SAN JUAN, 4 JUN – Jumlah sargasum mencatatkan rekod tertinggi pada Mei lalu di seluruh Caribbean dan kawasan sekitarnya, dengan lebih banyak dijangka bulan ini, menurut laporan terbaharu oleh Makmal Oseanografi Optik Universiti South Florida.
Sebanyak 38 juta tan metrik rumpai laut coklat berduri itu dilaporkan — jumlah tertinggi pernah direkodkan sejak pemantauan Jalur Sargasum Atlantik Besar bermula pada 2011. Rekod sebelumnya ialah 22 juta tan pada Jun 2022.
Rumpai itu menyekat garis pantai dari Puerto Rico hingga Guyana, menjejaskan pelancongan, membunuh hidupan liar dan melepaskan gas beracun sehingga memaksa sebuah sekolah di Martinique ditutup sementara.
Profesor penyelidikan, Brian Barnes berkata saintis belum mengetahui punca peningkatan mendadak itu, namun mengaitkannya dengan suhu air laut, nutrien, perubahan angin dan limpahan pertanian.
Tiga jenis sargasum dikesan di Caribbean yang membiak secara aseksual dan terapung menggunakan kantung udara kecil. Di laut terbuka, ia menyokong ekosistem sihat bagi udang kecil hingga penyu laut terancam. Namun apabila sampai ke darat, ia membusuk, menyekat cahaya matahari kepada terumbu karang dan mengeluarkan bau busuk.
Beberapa tempat pelancongan seperti Punta Cana telah membina penghadang, manakala kru jentera berat dikerahkan di St Maarten susulan aduan bau gas ammonia dan hidrogen sulfida. Di perairan Perancis Caribbean, kapal khas untuk mengutip rumpai kini sedang dinaik taraf.
Bagaimanapun, kos operasi pembersihan yang tinggi dan risiko terhadap telur penyu menyebabkan penyelesaian jangka panjang masih rumit. “Kami jangka lebih banyak sargasum pada Jun,” kata Barnes. – AP
