BRUSSELS, 20 APRIL – Pegawai Britain dan EU dijadual memulakan semula rundingan perdagangan Brexit hari ini selepas cuti disebabkan koronavirus, yang menjadikan perjanjian pada akhir tahun lebih sukar dicapai.
Selepas pusingan pertama pada awal Mac, rundingan digantung selama enam minggu tatkala pegawai menumpu pada virus yang melanda Eropah.
Disebabkan sekatan virus, rundingan pada minggu ini akan diadakan menerusi pautan video.
Tarikh akhir Jun yang ditetapkan oleh London untuk menilai peluang pemeteraian perjanjian kini semakin hampir.
Meskipun masa kesuntukan dan tekanan tambahan yang dibawa oleh pandemik paling teruk, kerajaan Johnson enggan melanjutkan tempoh peralihan Britain untuk berunding mengenai hubungan masa depan dengan EU.
Britain meninggalkan EU pada 31 Januari tetapi masih terikat padanya sehingga akhir Disember.
Kebimbangan meningkat bahawa perjanjian tidak akan dicapai, bermakna peraturan WTO dengan tarif tinggi dan sekatan kastam akan berkuat kuasa di antara UK dan EU.
Propek tersebut membimbangkan ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa Kristalina Georgieva, sehingga pada minggu lalu beliau menggesa Brussels dan London supaya melanjutkan tarikh akhir mereka, berkata menjadi kepentingan semua orang untuk mengurangkan ketidakpastian di tengah kemelut ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik. – AFP