ADDIS ABABA, ETIOPIA, 25 SEPT – Rundingan terbaharu mengenai empangan mega yang sedang dibina Etiopia di anak sungai utama Sungai Nil telah berakhir tanpa persetujuan.
Rundingan dua hari antara Etiopia, Sudan dan Mesir mengenai Empangan Renaissance Besar Etiopia yang dipertikaikan itu berakhir semalam di Addis Ababa, ibu negara Etiopia.
Ketua perunding Etiopia, Seleshi Bekele, berkata negara-negara itu telah ‘bertukar idea yang membina mengenai pelbagai isu tertunggak’ dan menambah bahawa negaranya tetap komited untuk meneruskan rundingan.
Kementerian air Mesir menyalahkan Etiopia atas kegagalan mencapai persetujuan, mendakwa bahawa Addis Ababa ‘menentang sebarang kompromi.’ Ia mengutarakan kebimbangan dan menyatakan bahawa persetujuan diperlukan untuk melindungi keselamatan air Mesir dan kepentingan negara.
Perbincangan tersebut telah berlangsung selama bertahun-tahun mengenai projek bernilai AS$4.6 bilion yang pembinaannya bermula pada 2011. Empangan itu dijangkakan mampu menghasilkan lebih 6,000 megawatt elektrik – dua kali ganda pengeluaran tenaga semasa Etiopia dan cukup untuk menjadikannya pengeksport tenaga bersih.
Etiopia memandang empangan ini sebagai penting bagi pembangunannya, tetapi Mesir di hulu Sungai Nil – negara paling ramai penduduk di dunia Arab – bimbang ia akan menyekat bahagian airnya di Sungai Nil, yang kritikal untuk penduduknya yang melebihi 100 juta orang.
Kira-kira 85 peratus daripada aliran sungai berasal dari Nil Biru di Etiopia walaupun Mesir telah menerima bahagian terbesar perairan Sungai Nil di bawah perjanjian puluhan tahun sejak zaman penjajahan British. – AP