Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rundingan gencatan senjata di Gaza gagal menjelang Ramadan

    KAHERAH, 6 MAC – Rundingan tiga hari dengan Hamas mengenai gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan gagal mencapai persetujuan kelmarin, kata pegawai Mesir, kurang seminggu sebelum bermula bulan Ramadan, tarikh akhir untuk perjanjian itu.

    Pertempuran selama hampir lima bulan itu telah memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza dan mengakibatkan bencana kemanusiaan yang semakin buruk terutamanya di wilayah utara yang telah musnah dan semakin kekurangan bekalan makanan.

    “Kita mesti mendapatkan lebih banyak bantuan ke Gaza,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kelmarin.

    “Tiada alasan. Sama sekali tidak,” tambahnya.

    Kumpulan bantuan berkata telah menjadi hampir mustahil untuk menghantar bekalan ke dalam Gaza kerana masalah koordinasi dengan tentera Israel.

    AS, Qatar dan Mesir telah menghabiskan berminggu-minggu berusaha untuk mencapai perjanjian di mana Hamas akan membebaskan sehingga 40 tebusan sebagai balasan gencatan senjata selama enam minggu serta pembebasan beberapa tahanan Palestin dan kemasukan bantuan yang besar ke wilayah itu.

    Hamas enggan membebaskan kira-kira 100 tebusan yang ditahannya, dan baki 30 orang lagi kecuali Israel menghentikan serangannya, berundur dari Gaza dan membebaskan sejumlah besar tahanan Palestin, termasuk pejuang kanan yang menjalani hukuman seumur hidup.

    Pegawai AS berkata mereka berasa sangsi Hamas benar-benar mahu capai satu perjanjian, kerana kumpulan itu telah menolak sejumlah besar apa yang dipercayai oleh AS dan negara lain sebagai permintaan sah, termasuk memberikan nama tebusan yang akan dibebaskan.

    Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan berkata kumpulannya menuntut gencatan senjata yang kekal bukan jeda enam minggu serta ‘pengunduran sepenuhnya’ tentera Israel. – AFP

    Para penduduk Palestin yang berkabung mengusung jenazah salah seorang korban pengeboman Israel untuk dikebumikan di perkampungan Burin, Tebing Barat, dekat Nablus. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda