LOS ANGELES, 9 JULAI – Keputusan undian ahli kesatuan berhubung kontrak sementara antara penggiat permainan video dan majikan mereka dijangka diumumkan hari ini.
Sekiranya diluluskan, kontrak itu akan menamatkan secara rasmi usaha hampir tiga tahun oleh perunding Kesatuan Screen Actors Guild-American Federation of Television and Radio Artists (SAG-AFTRA) untuk mendapatkan perjanjian baharu bagi para penggiat dalam industri permainan video.
Proses tersebut, yang termasuk mogok selama 11 bulan terhadap beberapa syarikat permainan utama, banyak tertumpu kepada kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap para penggiat dalam industri berkenaan.
Jika disahkan, perjanjian itu akan merangkumi kenaikan bayaran, kawalan terhadap persamaan serta perlindungan berkaitan penggunaan AI.
Kontrak tersebut dicapai pada awal Jun antara pihak kesatuan dan kumpulan perunding industri yang terdiri daripada beberapa syarikat permainan video utama, termasuk divisyen daripada Activision dan Electronic Arts.

Mogok yang berlangsung hampir setahun itu telah digantung pada 11 Jun dan kira-kira 3,000 ahli SAG-AFTRA yang diliputi di bawah perjanjian media interaktif diberi tempoh mengundi mulai 18 Jun.
Keputusan undian akan diumumkan sejurus selepas ia ditutup pada jam 5 petang waktu Pasifik.
“Mogok selama 11 bulan itu adalah satu proses yang sangat meletihkan dan sukar,” kata Pengarah Eksekutif Kebangsaan SAG-AFTRA merangkap ketua perunding, Duncan Crabtree-Ireland, sebelum tempoh pengundian tamat.
“Saya berharap dan percaya ahli kami, apabila mereka mengenang kembali detik ini, akan mengatakan bahawa segala pengorbanan dan kesukaran yang kami tempuh demi mencapai perjanjian ini adalah berbaloi kerana kami mempunyai elemen penting yang memberi keyakinan untuk terus maju dalam industri ini,” katanya.
Kontrak baharu ini menjamin perlindungan AI yang dianggap sebagai ‘terbaik dalam industri’, menurut jurucakap syarikat penerbit permainan video yang terlibat, Audrey Cooling. – AP