Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rundingan NAFTA: Kanada sudah bersedia

    OTTAWA, 5 Ogos – Menteri luar Kanada semalam berkata bahawa negaranya bersedia untuk memulakan rundingan semula bagi Perjanjian Dagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) pada “bila-bila masa dan di mana saja,” menurut laporan media.

    Kenyataan yang dibuat oleh Chrystia Freeland merupakan yang pertama daripada kerajaan Kanada dalam beberapa minggu dan dibuat selepas para pegawai Mexico dan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu berkata mereka mahu mengakhiri rundingan bagi rombakan NAFTA dengan segera bulan depan.

    “Kami bersedia secepat mungkin dan secara intensif,” kata Freeland kepada para pemberita dalam satu sidang telefon dari Hong Kong.

    “Kanada sudah bersedia dan boleh mengadakan rundingan di mana-mana saja dan bila-bila masa,” kata menteri, dengan menambah dia ‘sangat berminat’ untuk mengakhiri rundingan tersebut.

    Sementara itu, Kanada tidak menyertai perbincangan antara AS dan Mexico minggu lalu, ketika kedua-dua negara memfokuskan isu-isu dua hala, namun Freeland berkata dia masih berhubung bersama mereka.

    Chrystia Freeland (kiri) bercakap bersama Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong Ho semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang diadakan di Singapura, kelmarin. – AFP

    Mexico dan Kanada, kedua-dua negara itu berkata mahu mengekalkan pakatan tiga hala, manakala Presiden AS Donald Trump telah mengancam untuk menarik diri dan rundingan perjanjian dua hala secara berasingan.

    Rundingan bagi mengemaskinikan NAFTA bermula Ogos tahun lalu, selepas permintaan dibuat oleh Trump, yang melabelnya sebagai ‘perjanjian teruk’.

    Rundingan telah menghadapi kebuntuan berikutan sokongan Trump bagi satu peraturan dalam perjanjian perdagangan AS, yang memerlukan pihak-pihak yang terlibat untuk memperbaharui perjanjian setiap lima tahun.

    Selepas tujuh sesi, mereka menangguhkan sesi pada pertengahan Jun bagi memberi laluan pilihan raya presiden Mexico pada 1 Julai lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda