WANGELS, JERMAN, 13 MEI – Rundingan mengenai program nuklear Iran yang terbantut telah dilancarkan semula selepas perbincangan baharu di Tehran, kata ketua dasar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell hari ini, menambah beliau percaya perjanjian muktamad boleh dicapai tidak lama lagi.
Borrell berkata satu misi yang dilancarkan duta EU, Enrique Mora pada minggu ini untuk membantu memulihkan perjanjian nuklear 2015 di antara Iran dan kuasa dunia telah ‘mencatat keputusan lebih baik daripada dijangkakan.’
“Rundingan telah menemui kegagalan sebelum ini dan sekarang ia telah disambung semula,” beritahu Borrell kepada wartawan semasa mesyuarat G7 di Jerman. Timbulnya perspektif untuk mencapai satu perjanjian muktamad.”
Mora mengadakan mesyuarat dua hari bersama ketua perunding Iran Ali Bagheri di Tehran pada minggu ini.
Sementara itu, emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, bertemu dengan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan Presiden Ebrahim Raisi semalam untuk membincangkan perkembangan rundingan berkenaan.
Perjanjian 2015 memberikan Iran kelonggaran sekatan sebagai pertukaran kepada kawalan ke atas program nuklearnya untuk menjamin ia tidak membangunkan senjata nuklear, sesuatu yang sentiasa dinafikan oleh Tehran.
Sebelum ini dikenali sebagai Pelan Bertindak Komprehensif Bersama, perjanjian itu menemui kebuntuan pada 2019 disebabkan keputusan Presiden AS Donald Trump pada masa itu untuk menarik diri daripada perjanjian dan mengenakan sekatan ke atas Iran.
Antara perkara berbangkit dalam rundingan adalah permintaan Tehran yang menuntut AS mengeluarkan Pengawal Kor Revolusi Iran daripada senarai kumpulan pengganas.
Borrel berkata ‘perselisihan mengenai apa yang perlu dilakukan dengan isu Pengawal Revolusi’ telah menghambat perkembangan dalam rundingan selama dua bulan.
“Perkara seperti ini tidak dapat diselesaikan semalaman. Namun segala halangan telah diatasi dan rundingan berjaya dilancar semula,” kata Borrell. – AFP
