BEIJING, 8 JUN – Naib Perdana Menteri China, He Lifeng dijadualkan bertemu dengan delegasi Amerika Syarikat (AS) bagi rundingan perdagangan minggu hadapan di Britain, menurut pengumuman Beijing kelmarin, di tengah-tengah gencatan senjata sementara dalam pertikaian perdagangan antara dua kuasa besar dunia itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri China, He akan mengadakan lawatan ke United Kingdom dari 8 hingga 13 Jun atas jemputan kerajaan British. Dalam lawatan tersebut, He bersama wakil AS akan mempengerusikan mesyuarat pertama mekanisme perundingan ekonomi dan perdagangan China-AS.
Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa pusingan baharu rundingan perdagangan dengan China akan bermula di London pada Isnin, selepas beliau berbual melalui telefon dengan Presiden China, Xi Jinping dalam usaha menamatkan pertikaian berkaitan tarif yang semakin meruncing.
Menerusi platform Truth Social miliknya, Trump menyatakan bahawa Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick, dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer akan mengetuai pasukan rundingan AS bagi bertemu dengan wakil dari China.
Rundingan ini merupakan pusingan kedua rundingan seumpamanya sejak Trump melancarkan perang perdagangan selepas kembali memegang jawatan Presiden AS pada Januari lalu.
Pusingan pertama yang berlangsung pertengahan Mei di Geneva telah membawa kepada penangguhan dalam ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing. Namun, Trump kemudiannya menuduh China gagal mematuhi syarat perjanjian pengurangan ketegangan tersebut.
Pada Khamis lalu, Trump akhirnya mengadakan perbincangan secara langsung dengan Xi buat kali pertama sejak ketegangan meningkat, dan menyatakan bahawa perbualan mereka adalah positif.
Manakala Xi pula dilaporkan oleh media rasmi China sebagai berkata kepada Trump bahawa kedua-dua pihak perlu ‘membetulkan haluan’ hubungan dua hala antara mereka. – AFP


