Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rundingan positif selesaikan masalah

    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 29 Nov – Penyelesaian dua negara masih dilihat satu-satunya pilihan yang ada untuk mengakhiri konflik Palestin-Israel dan memastikan kemakmuran dapat diwujudkan di wilayah itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.

    “Hanya rundingan yang positif, ikhlas dan berpegang teguh kepada matlamat penyelesaian dua negara akan memberikan harapan dan impian dimahukan selama ini,” katanya sempena Hari Perpaduan Antarabangsa bersama Rakyat Palestin, lapor Associated Press of Pakistan (APP).

    Pada 1947 Perhimpunan Agung PBB menerima pakai Resolusi 181 (II) mengenai pemisahan kawasan di Palestin, namun negara merdeka dan berdaulat belum dapat direalisasikan.

    Guterres menyeru pemimpin Palestin dan Israel mengotakan janji yang termaktub dalam resolusi itu iaitu mewujudkan dua negara berjiran dengan Baitulmaqdis menjadi ‘corpus separatum’ (entiti berasingan) di bawah rejim khas antarabangsa.

    Katanya, ia satu-satunya cara bagi mendapatkan hak rakyat Palestin.

    Sementara itu, Presiden Perhimpunan Agung, Maria Fernanda Espinosa mengingatkan semua mengenai peranan badan dunia itu dalam proses damai.

    “Solidariti dan sokongan terhadap rakyat Palestin tidak hanya dengan simpati sahaja kerana rakyat Palestin berhak untuk dapat lebih daripada itu,” menurutnya.

    “Sebahagian ikrar PBB sepatutnya tidak membiarkan sesiapapun bermakna usaha perlu dilakukan walau dalam apa keadaan sekalipun, bagi menamatkan mimpi buruk rakyat Palestin,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda