TEHRAN, 20 APRIL – Rundingan tidak langsung pusingan kedua antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bermula di ibu kota Itali, Rom, bagi membincangkan program nuklear awam Republik Islam itu serta penamatan sekatan oleh AS.
Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Menteri Luar Iran Abbas Araqchi, tiba di Rom awal pagi kelmarin, untuk menghadiri rundingan yang dihoskan oleh Kedutaan Oman di Rom. Pusingan pertama diadakan di ibu kota Oman, Muscat, pada Sabtu lepas.
Rundingan diketuai oleh Araqchi dan Steve Witkoff, utusan khas Presiden AS ke Timur Tengah.
Iran sebelum ini menegaskan bahawa sebarang perjanjian mesti merangkumi penamatan sekatan serta menangani isu-isu utama negara itu termasuk jaminan dan perlindungan daripada penarikan semula secara unilateral oleh AS pada masa hadapan.
AS secara unilateral menarik diri daripada perjanjian pelbagai hala dengan Iran pada 2018 semasa penggal pertama Presiden Donald Trump dan melancarkan kempen tekanan maksimum terhadap Republik Islam itu. – Bernama
