Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rundingan RCEP perlu segera diselesaikan

    Oleh Shakir Husain

     

    NEW DELHI – Tarif yang diumum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetuskan kebimbangan di Asia tentang perang perdagangan global menyebabkan usaha diperhebat untuk segera memuktamadkan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

    Para pegawai yang menghadiri forum ASEAN-India baru-baru ini yakin perlaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tahun ini akan membuktikan komitmen mereka terhadap perdagangan bebas.

    Pusingan baharu rundingan RCEP peringkat menteri berlangsung di Jepun bulan ini tetapi pihak yang terlibat masih belum mencapai kata putus  untuk beberapa perkara termasuk liberalisasi sektor perkhidmatan,  e-dagang dan perlindungan harta intelek.

    Pertumbuhan ekonomi Asia

    Rancangan perdagangan bebas antara ASEAN dan enam sekutu perdagangannya iaitu Australia, China, India, Japan, New Zealand dan Korea Selatan dilihat sebagai langkah terbaik untuk memperkukuhkan semula pertumbuhan ekonomi Asia.

    “Sememangnya bukan mudah untuk mencapai permuafakatan dalam kalangan 16 buah negara yang mempunyai banyak perbezaan. Mungkin juga ada yang akan cuba untuk menggabungkannya dengan perjanjian perdagangan alternatif yang sedia seandainya proses rundingan ini berlarutan dan sekiranya kita tidak dapat memuktamadkan RCEP menjelang hujung tahun ini, ” kata Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan dalam ucapannya.

    India mahu lebih banyak liberalisasi sektor perkhidmatan supaya ahli profesional negara itu dapat menembusi pasaran dalam blok yang dicadangkan. – Agensi

    “Tetapi kami percaya kami perlu meneruskan usaha ini, terutamanya memandangkan kami menghadapi banyak halangan dalam persekitaran perdagangan global, kami semua perlu bersatu,” tambah beliau.

    India mahu lebih banyak liberalisasi sektor perkhidmatan supaya ahli profesional negara itu dapat menembusi pasaran dalam blok yang dicadangkan.

    Setiausaha Kementerian Perdagangan India, Rita Teaotia berkata RCEP akan menjadi tidak lengkap sekiranya sektor perkhidmatan tidak dibuka.

    Apabila dimeterai, RCEP akan mewujudkan blok perdagangan terbesar dunia, terdiri daripada hampir separuh penduduk dunia dan satu pertiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Perjanjian itu menekankan kepada kepentingan ASEAN dalam kedudukan ekonomi serantau yang baharu.

    Jepun dan China melihat blok perdagangan itu sebagai satu cara lain untuk menangkis Dasar Perlindungan yang semakin meningkat di Amerika Syarikat. Bagi India, ia adalah langkah besar untuk dasar ‘Act East’nya.

    “Kami yakin RCEP adalah peluang yang baik untuk kami untuk meneruskan perbincangan ekonomi dengan negara-negara jiran di sebelah timur. Kami harap rundingan ini dapat diselesaikan secepat mungkin, ” kata Menteri Hal Ehwal Luar India, Sushma Swaraj.

    Ketegangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China dijangka memberi kesan kepada negara perdagangan utama yang lain termasuk India dan anggota ASEAN. – Agensi

    Kebimbangan dan keresahan

    Di sebalik rasa optimis itu, ada negara kecil anggota ASEAN menghadapi kebimbangan tentang aliran pekerja sekiranya mereka membuka bidang ekonomi tertentu kepada dua negara dunia yang paling ramai penduduk itu.

    Diharap ketegangan tarif antara Washington dan Beijing dapat mencetuskan tolak ansur untuk beberapa isu RCEP yang masih belum selesai.

    Trump mengugut untuk mengenakan tarif baharu ke atas barangan yang diimport Amerika Syarikat dari China bernilai AS$500 bilion. Beliau sebelum melakukan tindakan yang sama ke atas import dari China bernilai berbilion dolar.

    Langkah yang diambil oleh Trump bertujuan mengurangkan defisit perdagangan negara yang besar antara Amerika Syarikat dan China.

    Ketegangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China dijangka memberi kesan kepada negara perdagangan utama yang lain termasuk India dan anggota ASEAN. Negara-negara berkenaan adalah bahagian utama rantaian bekalan China.

    Menurut Teaotia ‘perang perdagangan dan dasar perlindungan akan memberi kesan yang buruk.

    “Dalam perang perdagangan, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah kerana semua akan rugi,” katanya kepada mereka yang hadir di forum Delhi itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda