RIYADH, 8 MEI – Rundingan gencatan senjata di Arab Saudi antara jeneral Sudan yang berperang belum mencatat ‘kemajuan besar’ setakat ini, beritahu seorang pegawai Arab Saudi kepada AFP hari ini, memusnahkan harapan untuk menamatkan pertempuran dengan cepat.
Ketua tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya yang membelot menjadi saingan, Mohamed Hamdan Daglo, yang mengetuai Pasukan Sokongan Pantas (RSF), menghantar wakil ke bandar pesisir Laut Merah Jeddah pada Sabtu untuk pertemuan yang disifatkan Washington dan Riyadh sebagai ‘perbincangan prarundingan’.
Matlamat rundingan termasuk menamatkan pertempuran dalam jangka pendek, memudahkan penghantaran bantuan, memulihkan perkhidmatan asas dan menetapkan ‘jadual untuk rundingan yang lebih luas bertujuan menamatkan permusuhan’, kata Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua pihak telah ‘mula membincangkan langkah keselamatan yang perlu diambil untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan segera dan pemulihan perkhidmatan penting’, kata kenyataan itu.
Tetapi seorang diplomat Saudi memberitahu AFP hari ini bahawa ‘tiada kemajuan besar dicapai setakat ini’.
“Gencatan senjata tidak dibincangkan. Setiap pihak percaya ia mampu memenangi pertempuran,” tambah diplomat itu.
Pegawai kemanusiaan tertinggi PBB, Martin Griffiths, tiba di Jeddah semalam bertujuan bertemu wakil kedua-dua pihak, walaupun peranannya dalam proses itu tidak jelas.
Jurucakap Griffiths berkata semalam beliau telah tiba di Jeddah ‘untuk melibatkan diri dalam isu kemanusiaan yang berkaitan dengan Sudan’. – AFP


