ISLAMABAD, 30 JUN – Rundingan perdamaian ketujuh dan yang terbaharu di antara Amerika Syarikat (AS) dan Taliban adalah ‘kritikal’, kata jurucakap Taliban Suhail Shaheen hari ini, rundingan hari kedua dengan duta perdamaian Washington Zalmay Khalilzad di negara Timur Tengah Qatar, di mana kumpulan militan menyelenggarakan sebuah pejabat politik.
Shaheen memberitahu The Associated Press bahawa kedua-dua pihak sedang mencari ‘keputusan ketara’ tatkala mereka cuba mencapai perjanjian yang akan melihat pengunduran lebih 20,000 tentera AS dan NATO dari Afghanistan, dan berakhirnya perang paling lama Amerika.
Perjanjian juga dijangka memberikan jaminan bahawa Afghanistan tidak akan melindungi pengganas untuk melancarkan serangan di seluruh dunia.
Rundingan bermula semalam dan dijangka diteruskan sehingga minggu depan.
Kedua-dua pihak duduk untuk berunding beberapa hari selepas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata Washington berharap satu perjanjian dapat dicapai untuk menamatkan perang Afghanistan pada 1 September.
“Mencapai satu perjanjian perdamaian komprehensif dengan Taliban sebelum 1 September merupakan satu keajaiban,” kata Michael Kugelman, penolong pengarah Program Asia di Pusat Wilson’s di AS.
Pompeo dan Khalilzad berkata perjanjian muktamad bukan sahaja termasuk perjanjian dengan Taliban mengenai pengunduran dan jaminan Afghanistan, tetapi juga perjanjian mengenai dialog antara Afghan dan gencatan senjata tetap.
Sehingga sekarang, Taliban menolak rundingan dengan kerajaan Afghan sementara mengadakan dua mesyuarat berasingan dengan beberapa pegawai Afghan dari Kabul, termasuk bekas presiden Hamid Karzai, anggota bekas perikatan utara yang bertempur melawan Taliban ketika pemerintahan lima tahunnya serta anggota kerajaan. – AP
