Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rundingan tarif AS, China diteruskan

    GENEVA, 11 MEI – Rundingan antara pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS) dan China disambung semula untuk hari kedua hari ini, selepas Presiden AS, Donald Trump menyuarakan keyakinan terhadap rundingan yang bertujuan meredakan ketegangan perdagangan yang dicetuskan oleh pelancaran tarif agresifnya.

    Dalam hantaran Truth Social selepas rundingan hari pertama di Geneva semalam, Trump memuji perbincangan ‘amat positif’ dan menganggapnya ‘penetapan semula rundingan dengan cara yang mesra, tetapi membina.’

    Sebelum ini, agensi berita negara China Xinhua turut menyifatkan rundingan di Switzerland sebagai ‘langkah penting dalam mempromosikan penyelesaian isu yang timbul.’

    Hari kedua mesyuarat tertutup antara Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent, Wakil Perdagangan Jamieson Greer dan Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng disambung semula sejurus selepas 10 pagi hari ini.

    Seperti semalam, rundingan diadakan di kediaman duta Switzerland ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, sebuah vila berhampiran taman besar di tebing Tasik Geneva.

    “Rundingan ini menggambarkan bahawa keadaan semasa hubungan perdagangan dengan tarif yang amat tinggi ini akhirnya bukan untuk kepentingan AS mahupun China,” kata ketua ekonomi global Citigroup, Nathan Sheets kepada AFP, menggelar tarif sebagai ‘situasi kalah-kalah.’

    Perbincangan itu adalah kali pertama pegawai kanan daripada dua ekonomi terbesar dunia itu bertemu secara bersemuka untuk menangani topik sensitif perdagangan sejak Trump mengenakan cukai baharu yang tinggi ke atas China bulan lalu, mencetuskan tindakan balas yang kuat daripada Beijing.

    Menjelang pertemuan itu, Trump memberi isyarat bahawa dia mungkin menurunkan tarif, mencadangkan di media sosial bahawa ‘Tarif 80% ke atas China nampaknya sesuai!’

    Bagaimanapun, setiausaha medianya Karoline Leavitt menjelaskan bahawa AS tidak akan menurunkan tarif secara unilateral, dan China juga perlu membuat konsesi. – AFP

    Timbalan Perdana Menteri, He Lifeng (kiri) dan Menteri Ekonomi Switzerland, Guy Parmelin (tengah kanan) mengadakan rundingan dua hala di Geneva, Switzerland pada 9 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda