Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Orang ramai boleh mendalami serta mengetahui lebih dekat mengenai planet Jupiter, Zuhal serta bulan-bulannya dalam sesi ceramah anjuran Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang akan diadakan pada 8 Ogos ini.
Sesi ceramah awam bertajuk Shaping a Sustainable Future for Humanity, yang akan diadakan pada pukul 2:30 petang di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, bakal meneroka mengenai planet Jupiter, Zuhal dan bulan-bulannya daripada peneroka di belakang misi Cassini dan JUpiter ICy moons Explorer (Juice).
Ceramah awam berkenaan akan mengetengahkan perkongsian daripada saintis-saintis dihormati daripada misi Cassini dan Juice iaitu Profesor Jani Radebaugh, Dr Anezina Solomonidou dan Dr Rosaly Lopes yang terlibat dalam pelbagai projek oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan Agensi Angkasa Eropah (ESA).
Pakar-pakar berkenaan akan berkongsi pengalaman langsung mereka dan penyelidikan yang dikendalikan mengenai keajaiban sistem solar luar serta memberikan pandangan yang unik mengenai penerokaan ke planet angkasa yang jauh.
Sesi ceramah berkenaan akan dibukakan kepada orang ramai di mana ia merupakan peluang yang terbaik bagi penggemar angkasa, pelajar, penyelidik dan orang awam untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai misteri yang terdapat di sistem solar kita.
Para peserta ceramah juga berpeluang untuk berinteraksi dengan para penceramah melalui sesi soal dan jawab di mana mereka boleh mengemukakan persoalan dan bertukar-tukar fikiran dengan saintis-saintis unggul berkenaan.
Penyertaan bagi acara berkenaan adalah percuma dan bagi mereka yang berminat, boleh mendaftar lebih awal bagi mengesahkan tempat duduk mereka di mana ia adalah terhad.
Pendaftaran boleh dilengkapkan dengan mengikuti arahan di akaun Instagram rasmi UBD.